AKU BUKANLAH ORANG YANG HEBAT, TAPI AKU MAHU BELAJAR DARI ORANG YANG HEBAT.

AKU ADALAH ORANG BIASA, TAPI AKU INGIN MENJADI ORANG YANG LUAR BIASA.

DAN AKU BUKANLAH ORANG YANG ISTIMEWA, TAPI AKU INGIN MEMBUAT SESUATU YANG ISTIMEWA.

Rabu, 7 Mei 2014

BERGELAR PELAJAR SEMULA

Assalamualaikum rakan-rakan.

             Alhamdulillah, hingga ke hari ini saya masih bergelar pelajar cuma bidang dan tahap yang berbeza. Ramai juga yang bertanya kepada saya kenapa di usia kini masih nak belajar, tak penat ke dan pelbagai lagi soalan yang diajukan. Pada pendapat saya, perjuangan mencari ilmu tidak pernah mempunyai had dan berakhir. Bak kata pepatah." Menuntut ilmu biar sampai ke negeri Cina". 
            Saya turut bersyukur kepada Allah kerana mempunyai seorang suami yang sentiasa memberikan galakan, sokongan dan semangat kepada saya untuk terus berjuang dalam usaha murni ini. Suami juga turut berjuang untuk menghabiskan pengajiannya dalam PhD ini. Bezanya saya meneruskan pengajian  di UM dan suami di UPSI. Anak-anak juga turut memahami dan sentiasa memberikan dorongan kepada saya. Pengorbanan mereka sangat saya hargai dan sanjungi. Selain itu, saya dan suami juga ingin menjadi contoh terbaik untuk anak-anak supaya mereka lebih bersemangat dan belajar bersungguh-sungguh. 
               Bekas Professor saya di Institut Pengajian Kepengetuaan, UM selalu bertanya bilakah saya nak meneruskan pengajian lagi dan jawapan saya tetap sama iaitu saya tidak akan meneruskannya jika saya tidak berjaya dalam memohon Cuti Belajar Bergaji Penuh. Pengajian peringkat PhD ini memerlukan komitmen tinggi dan masa adalah paling penting. Oleh itu, saya memohon dengan KPM untuk Cuti Belajar Bergaji Penuh dan diluluskan akhir tahun lepas. Alhamdulillah dan sejak dari 14 Februari 2014 yang lalu bermulalah   perjuangan saya sebagai pelajar peringkat PhD di UM. Memang pada mulanya saya takut, tertanya-tanya dan risau dengan apa yang akan saya tempohi dalam masa terdekat itu. Saya pasrah dan sentiasa berdoa agar Allah permudahkan segala urusan saya dan seterusnya dapat menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan. Ada juga rakan-rakan yang telah berada di United Kingdom dan Australia untuk meneruskan pengajian yang juga di taja oleh KPM. 
              Routine harian juga telah berubah sejak bergelar pelajar. Jika dulu sebelum Subuh bangun dan bersiap-siap untuk ke pejabat tetapi sekarang tidak lagi. Setelah bersarapan dan suami ke tempat kerja saya menghantar anak ke sekolah. Balik dari menghantar anak saya terus ke bilik study ( yang saya sediakan khas untuk saya belajar) dan mencari serta membaca jurnal, thesis dan bahan bacaan lain yang berkaitan. Selain itu, proposal perlu disiapkan. Inilah yang menjadi kerisauan saya. Cuti Belajar sepenuh masa tak bermakna kita cuti senang lenang. Namanya pun Cuti Belajar so kenalah belajar.....Memang masa perlu diisi dengan banyakkan membaca. Hinggakan cermin mata saya pun rasanya dah perlu ditukar coz dan mulai rabun dekat pulak. Sebelah petangnya pula saya akan berhenti apabila anak-anak pulang dari sekolah. Hanya Haziq yang bersekolah kerana yang lain di asrama. So saya selesa belajar di rumah sahaja. Segala pencarian jurnal dan bahan-bahan bacaan sangat mudah dengan internet yang laju di rumah. Malamnya pula setelah anak tidur barulah saya teruskan membaca dan menulis. Disiplin  perlu diterapkan agar setiap hari saya perlu membaca dan menulis untuk proposal saya. 
                   Pengajian di peringkat PhD ini memerlukan rakan yang sama-sama berjuang dan boleh dibawa berbincang, tidak lokek ilmu serta yang pentingnya satu kepala. Saya diperkenalkan oleh seorang kawan dengan Leong Mei Wee seorang guru Kimia yang juga seperti saya melanjutkan pelajaran di IEL, UM. Setelah berjumpa buat pertama kalinya saya dapat rasanya Leong seorang yang baik dan saya serasi dengannya. Beliau juga dari Seremban dan apa-apa aktiviti berkaitan pembelajaran kami, kami lakukan bersama-sama. Ke library, kuliah, menghadiri seminar dan lain-lain lagi kami berdua. Perbincangan memang selalu kami adakan untuk memudahkan lagi pengetahuan dan pembacaan kami. Leong dan saya juga mempunyai penyelia kedua yang sama.
                    Alhamdulillah, kedua-dua penyelia saya bersetuju dengan tajuk kajian yang saya proposed. Sekarang saya dalam proses untuk melengkapkan Bab 1, 2, dan 3 sebelum bergerak ke Proposal Defend Seminar 1). Memang banyak yang perlu dibaca dan dianalisis secara teliti. 
                   Saya berdoa agar Allah memudahkan kembara saya dalam mencari ilmu ini.


               

Saya dan Leong di Perpustakaan.

Tiada ulasan: