Alhamdulillah, pagi ni masih lagi diberikan kesempatan oleh Allah untuk sama-sama menyambut Maulidul Rasul dan masih berkesempatan untuk menikmati keindahan bumi ciptaanNya ini. Hari cuti sebegini memang saya mengambil kesempatan untuk berehat bersama keluarga dan memanfaatkannya sebaik mungkin. Kami masih lagi belum habis berkemas sepenuhnya walaupun telah sebulan berpindah ke rumah baru ini. Alhamdulillah juga kerana akhirnya kami sekeluarga telah berpindah ke rumah baru kami. Suasana di sini memang tenang, sejuk dan nyaman. Memang saya dan suami selama ini mencari-cari lokasi yang terbaik untuk kami sekeluarga membina mahligai ini. Lokasinya juga tidak berapa jauh dari bandar Seremban (cuma mengambil masa 15 minit), suasana kampung dengan bunyi kicauan burung, udara yang bersih dan nyaman, sejuk di malam hari dan kehijauan yang masih lagi dapat dilihat disekeliling kawasan ini.
So, hari ni masakan saya ringkas sahaja. Saya menyediakan daging masak kerutub (rempahnya saya kirim dari kawan yang berasal dari Kelantan-memang sedap rempah ni). Untuk minum petang saya membuat Kek Buah yang ringkas.
Kerutub Daging
2 ulas bawang besar - dikisar
1 inci halia- dikisar
1 inci lengkuas - dikisar
2 sudu besar rempah kerutub
2 sudu besar kerisik
1 cawan santan
2 batang serai - dititik
garam
1. Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan yang telah dikisar sehingga wangi.
2. Masukkan rempah kerutub. Masak sehingga garing.
3. Masukkan daging batang pinang dan serai. Biarkan hingga air daging kering sebentar.
4. Masukkan santan, kerisik dan garam.
5. Masak sehingga kuahnya pekat.
6. Sedap dimakan bersama nasi panas atau pulut kuning.
KEK BUAH
Rupanya adunan yang telah dibancuh untuk dimasukkan ke dalam oven. Sebenarnya telah banyak kali saya mencuba buat kek buah tapi selalunya buah-buahan campurannya akan tenggelam ke dasar kek. Tapi kali ini alhamdulillah, bolehlah dikatakan menjadi. Tapi lain masa dan ketika saya ingin cuba resepi kek buah yang lain pula.
KEK BUAH
200 g mentega
3 biji telur
250 g buah campuran - digaul dengan sedikit tepung dahulu
1 sudu kecil baking powder
2 cawan tepung gandum
11/2 cawan gula kastor
1 sudu kecil esen vanila
1. Panaskan ketuhar 180C.
2. Putar mentega, gula kastor dan esen vanilla sehingga kembang.
3. Campurkan telur satu persatu. Putar lagi
4. Masukkan tepung gandum dan baking powder yang telah diayak.Gaul rata dengan senduk kayu.
5. Campurkan separuh buah-buahan campuran. Gaul lagi dan kemudian campurkan separuh lagi buah-
buahan campuran yang masih ada.
6. Masukkan ke dalam acuan dan bakar selama 30 - 40 minit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan