AKU BUKANLAH ORANG YANG HEBAT, TAPI AKU MAHU BELAJAR DARI ORANG YANG HEBAT.

AKU ADALAH ORANG BIASA, TAPI AKU INGIN MENJADI ORANG YANG LUAR BIASA.

DAN AKU BUKANLAH ORANG YANG ISTIMEWA, TAPI AKU INGIN MEMBUAT SESUATU YANG ISTIMEWA.

Sabtu, 7 Jun 2014

CENDOL LEMAN DAWI TERHEBAT


Assalamualaikum pembuka bicara,

Alhamdulillah hari ini diberikan kesihatan dan kudrat oleh Allah saw untuk berada di muka buminya. Semoga hari ini akan memberikan lebih kebaikan dari semalam. 
Sebenarnya, Cendol Leman Dawi ini memang terkenal di Negeri Sembilan dan pernah juga dipaparkan dalam rancangan Jalan-Jalan Cari Makan di TV3 tetapi baru-baru ini dalam perjalanan pulang ke kampung nenek di Rembau, saya berkesempatan untuk singgah dan menikmati cendolnya yang memang sedap dan yang lebih menarik ialah Tuan Leman Dawi yang sememangnya pandai mengambil hati pelanggan dengan celotehnya. Tapi jangan disangka celotehnya itu hanya omongan kosong. Setiap apa yang diperkatakan oleh Leman Dawi ini mempunyai maksud yang mendalam. Saya memang tertarik dengan sikapnya yang tidak jemu-jemu memperkatakan tentang pelbagai perkara seperti keluasan negeri sembilan, nama-nama pulau yang berada di Pulau Langkawi dan pelbagai lagi. Yang menariknya setiap apa yang keluar dari mulutnya itu memang tepat dan betul. Kagum saya dengan ilmu pengetahuannya itu serta kemahiran mengingatnya yang tinggi. 

Yang menariknya di gerai Leman Dawi ini ialah pelanggan boleh menambah cendol secara percuma. Bagi rakan-rakan yang ingin mencuba cendol ini, lokasinya ialah Dari Seremban arah ke Rembau berhampiran Stesen Keretapi di Senawang. 


Inilah cendolnya. Sedap dan lemak


Ini pula cendol yang diletakkan di setiap meja dan pelanggan bolehlah menambah tak kira berapa banyak pun.


Seperti biasalah ye....Hazim yang paling berselera.


Cik Abang saya dan Haziq pun sama menikmati cendol ini.

Jumaat, 6 Jun 2014

NASI GORENG TOMYAM

 Nasi Goreng Tom Yam. Inilah menu hidangan makan malam kami. Cepat dimasak dan sedap dimakan. Biasalah bila musim malas telah melanda....apatah lagi saya sedang sibuk menyiapkan thesis ni , so inilah yang termampu hari ini. Yang penting, suami dan anak-anak suka.


Inilah bahan-bahannya. Sedikit mixed-vege, 2 butir telur, fish ball, daun limau purut, daging ayam dicincang halus, sedikit udang putih, daun limau purut, cili padi, bawang putih dan merah dikisar serta 2 sudu besar perencah tomyam Adabi.


Mula-mula, panaskan minyak. Tumiskan bawang kisar dan cili padi. Bila dah wangi tu masukkan ayam dan udang, biarkan seketika agar masak. Masukkan perencah tomyam Adabi tadi bersama sedikit garam.


Lepas tu, masukkan fish ball, telur, mixed-vege dan daun limau purut. Biarkan seketika.


Akhirnya masukkan nasi dan kacar rata serta sebati. Bila dah masak boleh lah dihidangkan.

Khamis, 5 Jun 2014

IKAN SELAR SAMBAL BERLADA


Alhamdulillah masih diberikan kesempatan oleh Allah untuk bernafas pada hari ini. Semoga hari ini lebih baik dari semalamnya. Memang sekarang saya semakin sibuk dengan pengajian saya. Saya sedang menyiapkan bab 1, 2 dan 3 thesis saya. Pening kepala dan mata juga semakin berpinar-pinar. Bila saya berjumpa Optician memang sah cermin mata saya perlu ditukar kerana saya mengalami kesukaran untuk membaca dari jarak dekat. Hai...tak pelah. Itulah dinamakan pengorbanan demi untuk peningkatan ilmu. InsyaAllah ada ganjarannya di kemudian hari.

Ok lah jom kita jenguk apa yang saya masak dan nak kongsi hari ini. Resepi yang simple tetapi selalu dimasak oleh saya especially bila sibuk dan penyakit Malas tu datang. Meh kito layan resepinya yang mudah ni ye.

IKAN SELAR SAMBAL BERLADA

Bahan-bahan:

5 - 6 ekor ikan selar 
3 biji bawang besar - dihiris
1 ulas bawang putih - dihiris
3 sudu besar cili kering kisar
1 keping asam keping (betul ke tu)

Cara-cara:
1. Panaskan minyak. Goreng ikan selar tadi sehingga agak-agak garing.
2. Tumiskan cili kering kisar sehingga betul-betul masak atau pecah minyak.
3. Masukkan bawang besar dan putih. Gaul rata.
4. Campakkan asam keping dan tambahkan garam secukup rasa. 
5. Jika nak letak sedikit air pun boleh.
6. Bila dah masak bolehlah diangkat.

Rabu, 4 Jun 2014

PUFF KENTANG BERDAGING


Assalamualaikum,

Hari ni nak kongsi berkenaan Puff Kentang Berdaging yang saya buat untuk sarapan pagi minggu lepas. Baru hari ni dapat masukkan dan share dalam entri. Caranya sama sahaja dengan Puff yang saya buat sebelumnya.

PUFF KENTANG BERDAGING

Bahan-bahan:
1 bungkus Pastry Puff jenama Kawanku (ada 10 keping)
1 biji telur - untuk sapuan

Inti Kentang Berdaging
Daging kisar secukupnya - saya gunakan jenama RAMLY
5-6 biji kentang - dipotong dadu seperti nak buat inti karipap tu
1 biji bawang besar - didadu
1 ulas bawang putih - didadu
1 tangkai daun kari - dicuci
2 sudu besar rempah kari
1/2 sudu besar cili kering kisar - jika nak pedas bolehlah ditambah kuantitinya
garam secukupnya

Cara-cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan bawang putih sehingga wangi.
2. Masukkan campuran rempah kari dan cili kisar dan goreng sehingga betul-betul masak.
3. Masukkan daging kisar, daun kari dan garam. Biarkan seketika
4. Masukkan kentang dan biarkan sehingga kentang lembut.
5. Tutup api dan sejukkan dahulu

Cara membuat Puff
1. Letakkan pastry puff di atas dulang.
2. Isikan inti kentang berdaging tadi.
3. Tutup dan buatlah apa-apa bentuk yang disukai.
4. Matikan tepi puff dengan menggunakan garfu.
5. Sapukan atasnya dengan telur.
6. Bakar dalam oven selama 10 - 15 minit atau mengikut jenis oven yang digunakan.


Ini rupanya setelah diletakkan inti dan sebelum dibakar

Selasa, 3 Jun 2014

ROTI SOSEJ


Assalamualaikum,

Pagi ni saya buat Roti Sosej sebagai hidangan sarapan pagi kami sekeluarga. Dah beberapa kali juga saya membuatnya cuma kali ni nak gunakan resepi dari blog rozzan. Terima kasih rozzan kerana roti ni sangat lembut dohnya dan sedap. Saya buat 10 biji dalam 1 jam setengah selamat dimakan oleh anak-anak. Sempat juga saya mengasingkan sebiji untuk my hubby. Maklumlah cuti sekolah ni semuanya ada di rumah.

ROTI SOSEJ
(Sumber asal: Rozzan.blogspot)

Bahan-bahan:
A
 400 gram tepung roti
60 gram tepung hong kong (saya tak letak sebab tak ada)
100 gram gula kastor
1 sudu teh garam
30 gram susu tepung
1 sudu teh bread improver
4 sudu besar yis kering (11 gram)

B -
250 ml air
1 biji telur

C-
80 gram shortening

D-
10 keping sosej
mixed vege
mozarella cheese

Cara-cara:
1. Masukkan kesemua bahan  A ke dalam mangkuk. Gaul rata dan diuli seketika.
2. Tuangkan telur dan air sedikit demi sedikit. Campurkan shortening dan teruskan menguli.
3. Uli lagi sehingga licin dan menjadi doh.
4. Biarkan doh naik sekali ganda (40 - 50 minit)
5. Tumbuk-tumbukkan doh dan uli lagi. Buatkan bentuk bulat-bulat seberat 300 gram. Rehatkan lagi selama
     10 minit.
6. Selepas itu ikut step kat bawah ni ye.


Canaikan doh tadi seperti diatas.


Letakkan sosej ditengah-tengah doh. 


Cantumkan hujung doh seperti dalam gambar
Kelar-kelarkan atas doh tapi jangan putus ye.


Kemudian tarik bahagian yang dikelar tadi bersama potongan sosej ke kiri dan ke kanan berselang seli.


So, inilah rupanya.


Saya letakkan mixed-vege dan mozarella cheese di atasnya.


Masukkan dalam oven dan bakar selama 15 - 25 minit.
Dah siap...jemput makan

Isnin, 2 Jun 2014

POPIA SAYUR


Assalamualaikum,

Alhamdulillah cuti sekolah dah hampir 5 hari bermula. Seronok saya anak-anak berada disamping keluarga. Cuma anak yang sulung pula mula memasuki alam universiti. So, masih tidak lengkaplah bilangan ahli rumah saya ni. Biasalah apabila anak-anak telah membesar masing-masing mempunyai peluang dan ruang yang tersendiri. Inilah kehidupan. Apa-apa pun kita sebagai ibu bapa mendoakan agar mereka berjaya di dunia dan akhirat.

Biasalah bila petang-petang ni terfikir apa yang nak dimasak sebagai hidangan petang. Buka peti sejuk dan ambillah apa yang ada dan saya buatlah popia sayur yang mudah dan tidak memerlukan masa yang lama untuk dimasak. Bahan-bahannya pun memang dah ada dalam peti sejuk...jom

POPIA SAYUR

Bahan-bahan:
Kulit popia secukupnya (saya beli yang dijual di GIANT tu)
2 keping tauhu - dipotong dadu
segenggam taugeh
1/2 batang carrot - dihiris halus
1/4 biji sengkuang - dihiris halus
sedikit garam
6 - 7 tangkai cili merah*
3 ulas bawang putih*
2 sudu besar cili sos*
1 sudu besar gula pasir*

1. Bahan-bahan bertanda * dikisar dan dimasak atas api sederhana sehingga pekat. Ini adalah kuahnya.
2. Kulit popia tu diletakkan di atas dulang
3. Kemudian diisikan dengan sayur-sayuran tadi.
4. Digulung  kemas.
5. Bolehlah digoreng sehingga keperangan.


Ahad, 1 Jun 2014

MAKARONI BAKAR


Assalamualaikum..

Makaroni adalah antara hidangan yang anak-anak saya suka, tak kiralah dimasak apa pun. Antara yang menjadi kegemaran anak-anak saya ialah Makaroni Goreng, Baked Makaroni atau pun Makaroni Carbonara. Kali ni saya nak share Baked Makaroni. Rasanya sedap dan tapi tak boleh dimakan sejuk sebab ia akan menjadi mual. So bila nak makan tu seelok-eloknya baru dimasak. Nak membuatnya tu agak leceh sedikit tapi senang jer...



Ini adalah sos merah macam kita buat sos sphagetti tu..

Bahan-bahan:
secukupnya daging ayam kisar (saya guna RAMLY)
1 botol sos prego tradisional
cendawan butang secukupnya
4 -5 batang crab stick
2 ulas bawang putih
sedikit garam, secubit lada hitam, rosemary

Cara-cara:
1. Panaskan minyak zaitun
2. Tumis bawang putih sehingga wangi
3. Masukkan ayam kisar, masak sehingga daging ayam betul-betul masak
4. Tuangkan sos sphagetti tadi dan dicampur sedikit air.
5. Masukkan garam lada hitam dan rosemary. 
6. Apabila dah masak tutup api dan ketepikan.




Ini adalah makaroni yang telah direbus dan ditoskan. Makaroni ni perlu direbus dalam air mendidih yang telah dicampurkan sedikit mentega.


Ini pula sos putih. 

Bahan-bahan:
200 gram cheese philadelphia ( cheese apa pun bolah ye)
350 ml susu segar
3 sudu besar butter
secubit serbuk lada hitam

Cara-cara:
1. Panaskan butter dalam kuali non stick
2. Masukkan cheese dan kacau sehingga pekat.
3. Masukkan susu segar dan serbuk lada hitam.
4. Apabila dah cukup masak, matikan api dan ketepikan


Saya buat makaroni bakar ini dalam bekas yang kecil so senang anak-anak nak makan. Ambil jer satu mangkuk tu dan makan. Jom kita lapiskan makaroni ni sebelum dimasukkan ke dalam oven

So, mula-mula kita letakkan dulu makaroni yang telah direbus tadi di bahagian paling bawah.


Untuk lapisan kedua, letakkan pula sos merah tadi. Ratakan.


Kemudian letak pula mozarella cheese di atasnya. Cara nak melapiskan makaroni ni, bolehlah dibuat mengikut citarasa masing-masing. Saya pula ada yang selapis jer makaroninya dan ada yang saya buat dua lapis, ikut lah kreativiti anda.

Masukkan ke dalam oven dan bakar selama 25 minit dengan suhu 160C


Tu dia Makaroni Bakar saya. Ada yang meleleh cheesenya tu...Sebenarnya lagi banyak cheese lagi sedap.