AKU BUKANLAH ORANG YANG HEBAT, TAPI AKU MAHU BELAJAR DARI ORANG YANG HEBAT.

AKU ADALAH ORANG BIASA, TAPI AKU INGIN MENJADI ORANG YANG LUAR BIASA.

DAN AKU BUKANLAH ORANG YANG ISTIMEWA, TAPI AKU INGIN MEMBUAT SESUATU YANG ISTIMEWA.

Memaparkan catatan dengan label DAGING. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DAGING. Papar semua catatan

Ahad, 18 Mei 2014

DAGING MASAK MERAH


Assalamualaikum,

Masakan yang berasaskan daging memang menjadi antara menu kegemaran keluarga saya. Ada yang dimasak kicap, goreng lada hitam, gulai lemak cili padi, kari dan sebagainya. Kali ini saya nak berkongsi menu daging masak merah ala-ala gerai gitu. Nanti resepinya saya kongsi di akhir entri ini ye.

Sebelum tu saya nak berkongsi berkaitan khasiat daging kepada kita semua. Ini adalah kerana terdapat sedikit kekeliruan berkaitan pengambilan daging. Ada yang kata daging tidak baik untuk kesihatan kita dan sebaliknya. So...jom kita baca ye

KOMPOSISI NUTRIEN DAGING MERAH
Daging merah daripada haiwan seperti lembu dan kambing merupakan sumber protein utama bagi tubuh manusia. Badan kita memerlukan protein terutamanya  untuk proses pertumbuhan dan membaik pulih selsel. Protein juga merupakan komponen utama setiap otot, tisu dan organ yang penting untuk proses yang berlaku
dalam tubuh badan manusia seperti metabolisme dan penghadaman.  Daging merah mengandungi kandungan lemak tepu yang tinggi berbanding daging putih seperti ayam. Bagaimanapun ia juga mengandungi lemak monotaktepu dan politaktepu yang lebih tinggi. Jumlah lemak keseluruhannya boleh dikurangkan
dengan memilih daging yang telah dibuang atau di’trim’ lemaknya. Selain itu, daging merah merupakan sumber utama bagi zat besi dan zink. Ia juga merupakan sumber baik bagi niasin, vitamin B12 dan riboflavin. Pilihan daging yang baik ialah daging yang telah dibuang lemaknya terlebih dahulu. Ini akan mengurangkan kandungan lemak secara keseluruhan tetapi masih mengekalkan kandungan vitamin dan mineral yang sama. Daging merah yang terproses seperti sosej, daging dalam tin dan daging cencang mengandungi kandungan garam (yang dimasukkan sebagai pengawet) dan lemak (bahagian haiwan yang lain) yang lebih tinggi berbanding dengan daging biasa. 
ISU KESIHATAN BERKAITAN DENGAN DAGING MERAH
Mungkin anda pernah terbaca beberapa isu berkaitan dengan daging merah. Sehingga kini memang terdapat banyak pendapat tentang kesan pengambilan daging merah dari segi kaitannya dengan penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi dan kanser kolon. Ada kajian yang menyokong pandangan ini terutamanya apabila ia dikaitkan dengan kandungan lemak tepu dan garam yang tinggi seperti yang terdapat apabila ia melibatkan daging yang belum dibuang lemaknya a tau daging yang telah diproses (seperti daging ditinkan, sosej dan daging cincang). Selain itu daging yang dibakar juga  terdedah kepada bahan yang boleh menyebabkan kanser. Ia juga boleh memberi masalah kesihatan jika tidak  dimasak dengan sempurna.
DAGING MERAH DALAM DIET HARIAN
Ibadah korban yang disunatkan dalam Islam membuktikan keikhlasan kita sebagai hamba Allah serta mensyukuri segala nikmatnya. “Sesungguhnya Kami telah memberi engkau wahai Muhammad akan kebaikan yang banyak. Oleh itu kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah (binatang) korbanmu.” (Surah al- Kauthar:ayat 1-2) Daging merah mempunyai khasiat tersendiri yang boleh memberi faedah kepada manusia sekiranya diambil dengan cara betul dan jumlah yang bersesuaian. Mesej keenam dalam Garis Panduan Diet Malaysia 2010 perlu diikuti iaitu, “Makan ikan, daging, ayam, telur, kacang dan kekacang dalam jumlah yang sederhana.” Saya menggalakkan supaya pembaca MIDI mengamalkan  saranan berikut dengan mengikuti tip pemilihan dan pemakanan daging
merah. 
KESEDERHANAAN 
Tidak dinafikan daging merah memang mempunyai banyak khasiat yang diperlukan untuk tubuh badan kita. Bahaya pengambilan daging merah biasanya dikaitkan dengan pengambilan yang melebihi daripada saranan  dan juga pengambilan daging sudah diproses. Oleh yang demikian, kesederhanaan dalam pengambilan daging merah merupakan kunci utama dalam pengambilan diet seimbang anda. Berdasarkan kepada tip yang telah saya berikan, diharapkan pembaca MIDI mendapat gambaran yang lebih jelas dari segi pengambilan daging merah dalam diet harian untuk membantu anda mendapatkan kesihatan optimum.


DAGING MASAK MERAH

Bahan-bahan:
1/2 kilo dagiing batang pinang (saya rebus dahulu bersama sedikit pewarna merah)
2 bawang besar - dihiris
1 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
2 buah tomato - dibelah 4
1 tangkai saderi - dihiris serong
1 helai daun limau purut
1 batang serai
1 tangkai cili merah - dihiris
4 - 5 tangkai cili padi - dihiris
sos tomato
sos cili
sos tiram
1 sudu cili kering kisar

Cara-cara:
1. Daging yang direbus tadi dihiris nipis.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan hiris sehingga wangi.
3. Masukkan serai dan semua sos beserta garam.
4. Masukkan juga sedikit air rebusan dan bahan-bahan lain.
5. Angkat dan hidangkan.

Sabtu, 10 Mei 2014

DAGING KANCIL MASAK LEMAK CILI API


Daging kancil? itulah yang keluar dari mulut saya apabila suami balik dari out station di Sabah dan membawa daging kancil salai yang diberikan oleh seorang Guru Besar dari sana. Nak masak apa ye? So, cepat-cepat saya telefon mak dan tanya masak apa yang sesuai untuk daging kancil. Ayah saya mencadangkan agar dimasak gulai lomak cili api dan esoknya ayah saya memberikan saya satu plastik kecil belimbing buluh. Beliau memohon agar saya masak daging kancil itu dicampurkan dengan belimbing buluh. Senang aje....Sodap dan yang penting habisss....

Daging Kancil Masak Lomak Cili Api

Daging Kancil salai
Santan (ikut banyaknya daging tu)
Cili padi secukupnya 
1 inci kunyit hidup
2 ulas bawang merah
3 batang serai
belimbing buluh (dihiris 2 atau 3)
secukupnya garam

Cara-cara:
1. Tumbuk cili padi, kunyit dan bawang merah.
2. Masukkan santan ke dalam periuk bersama-sama bahan tumbuk bersama daging kancil.
3. Masak sehingga mengelegak. Pastikan sentiasa dikacau agar tidak pecah minyak.
4. Setelah itu, masukkan belimbing buluh dan garam.
5. Biarkan sehingga masak.
6. Bolehlah dihidangkan

Daging kancil ini sangatlah halus dan sedap...


Isnin, 21 April 2014

DAGING PALEMBANG


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

     Hari ni saya nak berkongsi masakan Daging Palembang yang sangat sedap dan mendapat pujian dari seisi keluarga saya. First time saya buat ni, tapi hasilnya berbaloi. Saya berterima kasih kepada Kak Yati dari blog Sinar Kehidupanku kerana sudi berkongsi resepi yang mudah, sedap dan lazat ni. Daging Palembang ni boleh juga dinikmati bersama roti, nasi panas dan pulut. Bahan-bahannya pun senang aje. Saya turut membawa masakan ni untuk dihidangkan sebagai menu lunch kami bersama Nabila semasa saya visit dia Ahad lepas. Jom kita layan resepinya yang mudah ni. Sebelum tu...ha ni dia step by step cara untuk memasaknya.




Panaskan minyak dan tumis rempah ratus diikuti oleh cili kering giling sehingga garing.


Kemudian masukkan pula bahan-bahan yang diblender tadi, masak hingga wangi.


Masukkan juga serai dan daging. Tunggu sehingga daging agak-agak empuk dan masak. Kemudan masukkan santan, sedikit garam dan gula.


Lepas tu masukkan pula kicap dan kerisik. Jika nak kuah banyak, bolehlah ditutup apinya atau jika nak kering sedikit tunggulah ikut citarasa masing-masing.


Tu dia...Memang sedap dan menyelerakan.


Untuk dibawa ke sekolah Nabila sebagai hidangan makan tengahari kami sekeluarga.

DAGING PALEMBANG
(Sumber : YatieMemories)

Bahan-bahan

         700 gm daging (saya rebus dan hiris nipis)
         2 batang serai - dititik (saya letak 3 batang -biar dia wangi)
         500ml santan pekat (saya guna 1 kotak santan)
         2 sudu besar kerisek (saya guna 1/2 paket kerisik segera)
         1 cawan kicap lemak manis Cap Kipas Udang (Habhals)
         minyak utk menumis

Bahan Kisar

         1 labu bawang besar
         5 biji bawang merah (saya guna 3 biji bawang besar)
         3 ulas bawang putih
         2 cm halia
         3 cm lengkuas
        15 biji cili kering- (saya gunakan 4 sudu cili kisar)

Bahan Tumis 
          3 cm kulit kayu manis
          2 kuntum bunga lawang
          2 kuntum bunga cengkih
          3 biji buah pelaga (saya tak letak)
          2 biji bawang merah 
          2 ulas bwng putih-hiris

Cara-caranya:
  1. Panaskan minyak secukupnya dan tumis bahan tumis sehingga naik bau. Masukkan bahan kisar bersama serai sehingga pecah minyak.
  2. Masukkan daging dan gaul sebati. Tutup kuali dan masak dengan api sederhana sehingga keluar air daging dan biarkan seketika.
  3. Masukkan kicap dan diikuti dengan santan. Biarkan masak hingga daging mula empuk.
  4. Kacau sekali-sekala sehingga masak dan kuah menjadi pekat. Masukkan kerisek dan gaul rata. Masak sehingga daging empuk.
Terima kasih kepada Kak Yatie (YatieMemories) yang sudi berkongsi resepi yang sedap ni. Alhamdulillah.

Selasa, 15 Oktober 2013

HATI MASAK KICAP BEREMPAH



Ini juga merupakan antara masakan saya yang lewat dimasukkan ke dalam entri. Saya dan hubby memang mengemari Hati masak kicap ni tetapi anak-anak kurang. Jadi untuk tidak membazir saya buat sedikit sahaja takut membazir pula nanti.

HATI MASAK KICAP BEREMPAH

Bahan-bahan:-
1/2 kilo hati lembu
2 biji tomato - dibelah 4
2 tangkai cili hijau - dihiris
2 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 sudu rempah kari daging
1 sudu makan sos tiram
kicap manis secukupnya
garam

Cara-cara:-
1. Hati dipotong nipis dan dibasuh dengan 2 biji limau.
2. Gaulkan dengan kunyit dan garam. Goreng garing.
3. Dengan menggunakan minyak gorengan tadi, tumis bawang putih dan bawang besar, masukkan rempah dan cili hijau.
4. Kemudian masukkan sos tiram dan kicap serta sedikit air.
5. Setelah mendidih, masukkan hati tadi dan tomato.
6. Biar seketika dan angkat.
7. Taburkan daun bawang.

Rabu, 10 April 2013

DAGING GORENG BEREMPAH


Daging goreng berempah ni saya masak untuk dimakan bersama bubur nasi. Memang agak pedas sikit tapi yang penting rasanya memang sedap....jika letak black pepper lagi best..

DAGING GORENG BEREMPAH

Bahan-bahan:
1/2 kilo daging
2 senduk air rebusan daging
2 biji buah tomato - dibelah 4
sedikit daun kucai - dipotong 1 inci panjang
2 tangkai cili hijau - dihiris
1 tangkai cili merah - dihiris
2 bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
sedikit minyak
garam
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
1 sudu besar sos tomato
1 sudu rempah kari

Cara-cara:
1. Daging direbus dan dihiris. (Air rebusan disimpan untuk kuahnya nanti)
2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan hirisan.
3. Masukkan sos tiram, kicap cair, sos tomato, rempah kari, garam dan gula.
4. Masukkan 2 senduk air rebusan daging. Masukkan daging dan daun kucai.
5. Akhir sekali masukkan tomato, cili hijau dan cili merah.
6. Biarkan seketika dan bolehlah diangkat.


Khamis, 14 Februari 2013

DAGING BLACKPEPPER


Daging blackpepper ni saya masak Isnin lepas, baru sekarang dapat nak share...banyak kerja la tak sempat nak berblog blog ni...bila dah free sikit ni bolehlah.... Masa cuti  CNY pun sibuk juga..nama aje cuti tapi masih banyak urusan.  CNY kali ni kami tak ke mana-mana, we enjoyed staying at home and be with the children. Sambil tu kemas rumah sikit-sikit, maklumlah banyak lagi barang-barang yang belum di 'unpacked' sejak berpindah... Jom kita layan daging black pepper ni.
DAGING BLACK PEPPER

1 bungkus rempah daging black pepper (saya gunakan jenama
    MAGGIE)
1/2 kilogram daging batang pinang ( saya rebus dahulu dan dihiris)
2 biji kentang ( potong serong dan goreng)
  daun sup
2 tangkai cili merah
1 biji bawang besar (saya guna bawang kuning - sedap dan garing)
2 biji bawang merah - ditumbuk
2 ulas bawang putih - ditumbuk
1 inci halia - ditumbuk
1 cawan air rebusan daging
secubit garam
minyak untuk menumis

1. Panaskan minyak masak.
2. Tumis bahan-bahan yang telah ditumbuk sehingga wangi.
3. Masukkan daging. Biarkan seketika.
4. Masukkan rempah daging black pepper jenama MAGGIE tadi.
    Kacau seketika
5. Masukkan air rebusan daging tadi, garam dan serbuk perasa.
    Biarkan hingga ia mendidih dan
    pekat.
6. Masukkan kentang goreng, lada merah dan kacau.
7. Padamkan api. Boleh dihiaskan dengan daun sup.


Sedap daging black pepper, boleh juga dimakan dengan roti putih.

Jumaat, 25 Januari 2013

MENU CUTI MAULIDUL RASUL

      Alhamdulillah, pagi ni masih lagi diberikan kesempatan oleh Allah untuk sama-sama menyambut Maulidul Rasul dan masih berkesempatan untuk menikmati keindahan bumi ciptaanNya ini. Hari cuti sebegini memang saya mengambil kesempatan untuk berehat bersama keluarga dan memanfaatkannya sebaik mungkin. Kami masih lagi belum habis berkemas sepenuhnya walaupun telah sebulan berpindah ke rumah baru ini. Alhamdulillah juga kerana akhirnya kami sekeluarga telah berpindah ke rumah baru kami. Suasana di sini memang tenang, sejuk dan nyaman. Memang saya dan suami selama ini mencari-cari lokasi yang terbaik untuk kami sekeluarga membina mahligai ini. Lokasinya juga tidak berapa jauh dari bandar Seremban (cuma mengambil masa 15 minit), suasana kampung dengan bunyi kicauan burung, udara yang bersih dan nyaman, sejuk di malam hari dan kehijauan yang masih lagi dapat dilihat disekeliling kawasan ini. 
     So, hari ni masakan saya ringkas sahaja. Saya menyediakan daging masak kerutub (rempahnya saya kirim dari kawan yang berasal dari Kelantan-memang sedap rempah ni). Untuk minum petang saya membuat Kek Buah yang ringkas.

Kerutub Daging



1/2 kilo daging batang pinang
2 ulas bawang besar - dikisar
1 inci halia- dikisar
1 inci lengkuas - dikisar
2 sudu besar rempah kerutub
2 sudu besar kerisik
1 cawan santan
2 batang serai - dititik
garam

1. Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan yang telah dikisar sehingga wangi.
2. Masukkan rempah kerutub. Masak sehingga garing.
3. Masukkan daging batang pinang dan serai. Biarkan hingga air daging kering sebentar.
4. Masukkan santan, kerisik dan garam.
5. Masak sehingga kuahnya pekat.
6. Sedap dimakan bersama nasi panas atau pulut kuning.


KEK BUAH




 Rupanya adunan yang telah dibancuh untuk dimasukkan ke dalam oven. Sebenarnya telah banyak kali saya mencuba buat  kek buah tapi selalunya buah-buahan campurannya akan tenggelam ke dasar kek. Tapi kali ini alhamdulillah, bolehlah dikatakan menjadi. Tapi lain masa dan ketika saya ingin cuba resepi kek buah yang lain pula.










KEK BUAH

200 g mentega
3 biji telur
250 g buah campuran - digaul dengan sedikit tepung dahulu
1 sudu kecil baking powder
2 cawan tepung gandum
11/2 cawan gula kastor
1 sudu kecil esen vanila

1. Panaskan ketuhar 180C.
2. Putar mentega, gula kastor dan esen vanilla sehingga kembang.
3. Campurkan telur satu persatu. Putar lagi
4. Masukkan tepung gandum dan baking powder yang telah diayak.Gaul rata dengan senduk kayu.
5. Campurkan separuh buah-buahan campuran. Gaul lagi dan kemudian campurkan separuh lagi buah-
    buahan campuran yang masih ada.
6. Masukkan ke dalam acuan dan bakar selama 30 - 40 minit.