AKU BUKANLAH ORANG YANG HEBAT, TAPI AKU MAHU BELAJAR DARI ORANG YANG HEBAT.

AKU ADALAH ORANG BIASA, TAPI AKU INGIN MENJADI ORANG YANG LUAR BIASA.

DAN AKU BUKANLAH ORANG YANG ISTIMEWA, TAPI AKU INGIN MEMBUAT SESUATU YANG ISTIMEWA.

Memaparkan catatan dengan label IKAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label IKAN. Papar semua catatan

Khamis, 5 Jun 2014

IKAN SELAR SAMBAL BERLADA


Alhamdulillah masih diberikan kesempatan oleh Allah untuk bernafas pada hari ini. Semoga hari ini lebih baik dari semalamnya. Memang sekarang saya semakin sibuk dengan pengajian saya. Saya sedang menyiapkan bab 1, 2 dan 3 thesis saya. Pening kepala dan mata juga semakin berpinar-pinar. Bila saya berjumpa Optician memang sah cermin mata saya perlu ditukar kerana saya mengalami kesukaran untuk membaca dari jarak dekat. Hai...tak pelah. Itulah dinamakan pengorbanan demi untuk peningkatan ilmu. InsyaAllah ada ganjarannya di kemudian hari.

Ok lah jom kita jenguk apa yang saya masak dan nak kongsi hari ini. Resepi yang simple tetapi selalu dimasak oleh saya especially bila sibuk dan penyakit Malas tu datang. Meh kito layan resepinya yang mudah ni ye.

IKAN SELAR SAMBAL BERLADA

Bahan-bahan:

5 - 6 ekor ikan selar 
3 biji bawang besar - dihiris
1 ulas bawang putih - dihiris
3 sudu besar cili kering kisar
1 keping asam keping (betul ke tu)

Cara-cara:
1. Panaskan minyak. Goreng ikan selar tadi sehingga agak-agak garing.
2. Tumiskan cili kering kisar sehingga betul-betul masak atau pecah minyak.
3. Masukkan bawang besar dan putih. Gaul rata.
4. Campakkan asam keping dan tambahkan garam secukup rasa. 
5. Jika nak letak sedikit air pun boleh.
6. Bila dah masak bolehlah diangkat.

Jumaat, 30 Mei 2014

KARI IKAN MAYONG


Assalamualaikum,

Dah lama saya masak Ikan Mayong ni tapi baru hari ni dapat dikongsi. Ikan mayong ni memang sedap jika dimasak kari jer pada pendapat saya. Harganya boleh tahan juga mengikut musim, isinya lembut dan banyak so memang senanglah bagi mereka yang mempunyai anak kecil kerana mesti anak-anak sukakan isi ikan mayong ni yang lembut.

KARI IKAN MAYONG
Bahan-bahan:

1 ekot ikan mayong - dipotong keping dan kepala dibelah dua
6- 7 batang bendi
2 biji tomato - belah empat
4 ulas bawang  merah - ditumbuk
2 ulas bawang putih - ditumbuk
1 inci halia - ditumbuk
3 sudu besar cili giling
3 sudu besar rempah kari ikan
rempat ratus untuk menulis
1/2 cawan air asam jawa
1/2 kilogram santan
garam

Cara-cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan tumbuk serta rempah tumisan sehingga wangi.
2. Masukkan pula cili giling bersama rempah kari dan tumis sehingga benar-benar masak.
3. Masukkan ikan mayong dan biarkan sebentar.
4. Masukkan pula santan. Biarkan sehingga mendidih dan perlu selalu dikacau.
5. Apabila telah mendidih tuangkan air asam jawa dan masukkan garam.
6. Masukkan juga bendi dan tomato.
7. Apabila dah cukup masak, matikan api dan bolehlah dihidangkan.


Tumis cili giling dan serbuk kari


Ini pula apabila telah dimasukkan santan


Masukkan bendi


Tara....dah siap

Rabu, 28 Mei 2014

IKAN MASIN GORENG BERLADA


Assalamualaikum,

Tengok gambar jer dah nampak sedap kan....Ha..tulah memang sedap apatah lagi bila dimakan dengan nasi panas. Mak mertua lalu pun tak nampak...

IKAN MASIN GORENG BERLADA

Bahan-bahan:

1 ekor ikan masin (ikan merah)
2 biji bawang besar - dihiris
5-6 tangkai cili padi - dihiris/potong kecil

Cara-cara:
1. Ikan masin dipotong kecil-kecil dan digoreng garing.
2. Dengan menggunakan minyak yang sama, masukkan cili padi dan bawang.
3. Kemudian masukkan ikan masin tadi.
Dah siap....senangkan. Jom makan...


Sabtu, 24 Mei 2014

IKAN KERAPU STIM


Assalamualaikum,

Alhamdulillah, pagi tadi selepas menghantar anak saya Danial ke Stesen Komuter, Seremban saya dah suami serta anak-anak yang lain terus membeli barangan dapur di TESCO. Usai membeli kelengkapan yang diperlukan kami terus pulang ke rumah. Agak penat juga setelah setengah hari berjalan.

Balik jer terus berfikir apa yang nak dimasak. Hubby kata semalam beliau ada membeli 3 ekor ikan kerapu. So saya pun terfikir nak kukus. Ikan Kerapu kukus memang sedap. Apa lagi....inilah hasilnya. Jom layan resepi saya yang ringkas ni tetapi yang pasti hasilnya sedap apatah lagi dimakan panas-panas....Nyummmm


IKAN KERAPU STIM 

Bahan-bahan:
3 ekor ikan kerapu
1 biji buah tomato - didadu
2 inci halia - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
2 bawang besar - dihirs
2 tangkai cili merah - dihiris
5 tangkai cili padi - dihiris
1 batang saderi - dihiris
2 batang serai - dihiris
1 tangkai daun limau purut
secubit lada hitam
aluminium foil

Cara-cara:
1. Bersihkan ikan kerapu dengan air limau. Gaulkan dengan sedikit garam.
2. Panaskan kukusan.
3. Letakkan aluminium foil dalam loyang atau pinggan.
4. Taburkan separuh dari bahan-bahan hirisan.
5. Letakkan ikan kerapu tadi.
6. Taburkan baki bahan hirisan ke atas ikan dan sedikit dalam perutnya.
7. Perahkan air asam limau.
8. Taburkan sedikit garam dan lada hitam.
9. Kukus selama 15 minit atau sehingga masak.


Selasa, 20 Mei 2014

SAMBAL CILI PADI IKAN TALAPIA


Assalamualaikum,

Hari ni nak kongsi satu resepi yang mudah jer...tapi selalu juga saya masak kerana ikan talapia ni saya suka buat sambal jer...

SAMBAL TALAPIA CILI PADI

Bahan-bahan:
2 ekor Ikan Talapia
2 batang serai - diketuk
segenggam cili padi - ditumbuk
2 ulas bawang besar - dihiris
1 asam keping

Cara-cara:
1. Ikan talapia dibersihkan dan digoreng garing.
2. Menggunakan minyak yang sama cuma saya kurangkan kuantitinya, tumis bahan-bahan tumbuk sehingga
    garing.
3. Masukkan bawang besar hiris, serai dan asam keping.
4. Campurkan garam secukupnya.
5. Bila dah masak , angkat dan hidangkan.

Khamis, 15 Mei 2014

ASAM PEDAS IKAN KERISI


Assalamualaikum,


     Hari ni saya nak share berkaitan resepi yang mudah saja iaitu asam pedas tapi kali ni saya menggunakan ikan kerisi. Selalunya bila sebut asam pedas ni mesti kita ingat ikan parang, ikan tenggiri atau pari. If kat rumah saya ni jika ikan kerisi selalunya saya masak goreng berkicap atau sambal aje, so kali nak mencuba satu kelainan dan saya pun buat masak asam pedas.

Asam Pedas Ikan Kerisi

Bahan-bahan:
4-5 ekor ikan kerisi
6 - 7 sayur bendi
sedikit daun kesum
2 batang serai
1/2 cawan air asam jawa
sedikit garam
3 ulas bawang merah - ditumbuk
2 ulas bawang putih - ditumbuk
1 inci halia - ditumbuk
3 sudu besar cili kering mesin

Cara-cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan tumbuk sehingga
    wangi.
2. Masukkan cili mesin, serai dan biarkan sehingga cili benar-benar 
    masak
3. Setelah itu, masukkan air yang mencukupi bersama ikan kerisi 
    dan air asam jawa.
4. Biarkan mendidih dan kemudian masukkan bendi, garam dan
    daun kesum.
5. Biarkan seketika dan tutup api.

Simple kan...saya juga tak gunakan belacan kerana saya dan keluarga tak berapa suka dengan belacan ni. Tapi yang penting tanpa belacan pun, asam pedas ni sedap.



Ahad, 9 Jun 2013

GULAI NENAS IKAN MASIN


Gulai nenas ikan masin ni antara kegemaran hubby tapi jarang dimasak. Maklumlah anak-anak bila gulai nenas ni agak kurang sikit. Senang aje nak masaknya..tapi kali ni nenas yang saya beli ni agak masam sedikit.  Jom layan...

GULAI NENAS IKAN MASIN

Bahan-bahan:
2 ekor ikan masin sepat
1 biji nenas - kopek kulit dan potong kecil-kecil dan direbus seketika.
garam
1 1/2 cawan santan
8 tangkai cili padi
1 inci kunyit hidup

Cara-cara:
1.Cili padi dan kunyit - dikisar halus.
2. Masukkan santan ke dalam periuk.
3. Campurkan bahan-bahan yang dikisar tadi.
4. Masukkan nenas dan garam.
5. Apabila kuah telah mendidih, masukkan ikan masin.
6. Apabila telah masak, angkat dan hidangkan.

Rabu, 3 April 2013

ASAM PEDAS IKAN PARI


Ikan Pari ..... nak bakar ke nak masak asam ke?  Fikir punya fikir saya nak masak asam pedas lah. Buka fridge memang dah lengkap bahan untuk masak asam pedas ni. Ada bendi, ada daun kesum dan juga bunga kantan...Apa lagi jom kita layan...

ASAM PEDAS IKAN PARI

Bahan-bahan:
1/2 ekor ikan pari yang sederhana 
Bendi
4 ulas bawang merah - diblender
2 ulas bawang putih - diblender
1 inci halia - diblender
1 inci kunyit hidup - diblender
2 sudu besar cili kering dimesin
garam
gula
 2 batang bunga kantan
sedikit daun kesum
air asam jawa
minyak untuk menumis

Cara-cara:
1. Ikan pari tu perlu dibersihkan dan dicuci dengan teliti. Saya cuci 
    dengan air asam limau dan garam untuk hilangkan baunya.
2. Panaskan minyak, tumis bahan-bahan yang diblender sehingga 
    garing. 
3. Masukkan garam dan gula.
4. Tambahkan air secukupnya dan ikan pari.
5. Biarkan mendidih, masukkan air asam jawa, daun kesum, bendi 
    dan bunga kantan.
6. Setelah masak, bolehlah dimatikan api dan dihidangkan.

Selasa, 2 April 2013

IKAN CENCARU MASAK TAUCHU



Emmm....lama betul tak update entri. Sibuk memanjang jer....kononnya...but memang sibuk lately. Ni pun ambil peluang semasa tea-break memberi syarahan berkaitan Blue Ocean Strategy di Corus Paradise, Port Dickson. Lama dah saya masak menu ni...baru kini berkesempatan nak share...ada banyak lagi tu foto-foto dalam koleksi. Bila lapang sikit nanti saya masukkan ye.

Ikan Cencaru adalah antara ikan yang saya selalu beli dan masak. Bakar lah, masak kicaplah, masak samballah,  gulai dan lain-lain lagi. Tapi kali ni saya masak tauchu versi saya lah ye...

IKAN CENCARU MASAK TAUCHU

Bahan-bahan:
3 - 4 ekor ikan cencaru
3 tangkai cili hijau - dihiris
2 tangkai cili merah - dihiris
4 tangkai cili padi (saya suka pedas, so saya letak banyak cili)
2 bawang besar - dihiris
1 inci halia - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
2 sudu besar tauchu
secubit garam
sedikit gula
sedikit air asam jawa
sedikit air

Cara-cara:
1. Ikan dibersihkan dan digoreng garing. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang dihiris sehingga berbau wangi.
3. Masukkan sedikit air, tauchu, garam, gula dan air asam jawa.
4. Biarkan mendidih seketika.
5. Masukkan ikan dan angkat serta hidangkan.

Sedap....coz dah lama tak masak tauchu ni...cuma anak-anak bujang saya tu kurang sikit.




Isnin, 11 Mac 2013

SIAKAP SWEET SOUR



Assalamualaikum,

Nak kongsi menu lunch weekend lepas. Saya menyediakan menu ikan siakap sweet sour yang menjadi kegemaran anak-anak. Tak sempat nak menulis panjang. Jom layan resepi dulu...

Siakap Sweet Sour.

Bahan-bahan:
1 ekor ikan siakap
3 biji bawang besar (2 biji dikisar dan 1 biji dihiris)
2 ulas bawang putih (dikisar)
1 inci halia (dikisar)
1/2 cawan nanas tin (dihiris)
1 biji tomato (didadu)
daun sup (dihiris)
1 tangkai cili merah (dihiris)
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar cili kering kisar
sedikit garam
1 sudu besar gula

Hiasan:
timun dihiris
daun salad

Cara-cara:
1. Ikan siakap dibelah tetapi tidak sehingga putus. Bersihkan dan digoreng.
2. Panaskan minyak, tumis bahan-bahan yang telah dikisar.
3. Masukkan cili kering kisar, cili sos dan sos tomato. 
4. Tambahkan garam dan gula. Biarkan mendidih seketika.
5. Masukkan nanas tin dan tomato yang didadu.
6. Masukkan ikan goreng. Gaul rata dan boleh diangkat.
7. Boleh dihiaskan dengan daun sup, cili hiris dan bawang goreng.

Sabtu, 23 Februari 2013

PECEL IKAN KELI



Pecel merupakan antara masakan orang Jawa. Saya dulu tak berapa pandai nak masak pecel ni tapi bila dah berkahwin dengan orang Jawa ni kenalah belajar masakan mereka. Alhamdulillah, suami banyak memberikan tunjuk ajar. Kali ni saya nak share masak Pecel Ikan Keli. Sebenarnya mak cik suami saya selalu menggunakan Ikan Pari tapi kali ni saya tukar Ikan Keli pula. Senang aje nak memasaknya cuma perlu ada cekur yang mana ada sesetengah orang tidak berapa sukakan baunya tu..

Selain dari itu, saya juga nak berkongsi tentang khasiat Cekur ini yang sememangnya baik untuk kesihatan kita semua di akhir entri nanti ye...


Antara bahan-bahan yang saya gunakan

PECEL IKAN KELI

Bahan-bahan:

Ikan keli (saya gunakan 6 ekor)

10 tangkai cili padi - ditumbuk

4 ulas bawang merah - ditumbuk

1 inci kunyit hidup - ditumbuk

2 cawan santan

daun cekur - dihiris halus-halus

ubi cekur - ditumbuk

sedikit garam

Cara-cara:

1. Ikan keli seelok-eloknya dibakar dahulu.

2. Santan dan bahan-bahan yang ditumbuk tadi dimasukkan ke

     dalam periuk. Campurkan garam dan saya masakkan sekejap
      atas api sederhana. (Sebenarnya ia tidak perlu dimasak.)

4. Masukkan ikan keli serta daun cekur yang dihiris halus.

5. Angkat dan hidangkan.


Ini pokok cekur yang suami saya tanam...Banyak jasanya pada kami ni...

Khasiat Cekur

Rizom cekur digunakan sebagai tonik selepas bersalin bagi mengecutkan rahim, bahan untuk jamu bagi senak perut, membuang angin, sakit sendi serta melancarkan haid. Ia juga digunakan untuk melegakan batuk, mengurangkan bengkak dan dibuat bedak untuk merawat jerawat. Daunnya yang muda dimakan sebagai ulam atau dibuat kerabu. Rizomnya juga digunakan sebagai ramuan masakan.

Jumaat, 22 Februari 2013

GULAI LEMAK IKAN JELAWAT DAUN ASAM



Masak lomak cili api lagi...Biasanya tu..orang N9 tak boleh dipisahkan dengan masak lomak cili api. Ikan jelawat ni pun saya suka juga cuma tulangnya tu yang agak halus menyukarkan kita untuk memakannya.

Gulai Lemak Ikan Jelawat Daun Asam

Bahan-bahan:

1 ekor ikan jelawat (dibersihkan dan dibasuh dengan limau utk hilangkan hanyirnya)
7-8 tangkai cili padi - ditumbuk
1 inci kunyit hidup - ditumbuk
2 ulas bawang merah - ditumbuk
1 ikat daun asam gelugor (saya beli di Pasar Tani) - dihiris halus
2 cawan santan pekat + 1/2 cawan air
garam

Cara-cara:
1. Di dalam periuk, masukkan ikan jelawat, santan dan bahan-
    bahan yang telah ditumbuk.
2. Masukkan juga garam. Masak sehingga kuahnya mendidih. (perlu 
   dikacau selalu agar santan tidak pecah   minyak, nanti gulai lomak 
   tu tak sedap)
3.Setelah mendidih, masukkan daun asam gelugor yang telah dihiris 
    tadi.
4. Teruskan memasaknya seketika sehingga kuah benar-benar 
     masak.
5. Angkat dan hidangkan. 

Khamis, 24 Januari 2013

MENU LUNCH LAST SATURDAY

Lambat sikit dapat update blog ni. Busy la...
Last Saturday, untuk lunch saya prepare yang ringkas je untuk family. Nak cepat-cepat sebab ada hal lain. So saya masak lala goreng bercili, ikan siakap sweet sour dan pucuk paku masak lemak.


Ini lala goreng bercili yang memang digemari oleh Nabila dan saya sendiri. Tapi tak boleh makan selalu...

Lala goreng bercili (resepi sendiri je)

Lala secukupnya
8 tangkai Cili padi - dikisar
2 ulas bawang besar -dikisar
1 ulas bawang putih -dikisar
2 batang serai - diketuk
sekeping asam keping
2 keping daun limau purut

1. Basuh lala dengan limau untuk membuang lumpur. Basuh bersih agar tidak berbau bila 
    dimasak
2. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar. Masukkan sekali serai.
3. Setelah garing, masukkan lala dan sedikit air. Tambahkan asam keping, garam dan daun 
    limau purut.
4. Biarkan masak baru diangkat.





Pucuk paku masak cili padi. Ini antara kegemaran my hubby.

Pucuk paku masak lemak

1 ikat pucuk paku
secukupnya cili padi - dikisar (jika nak pedas bolehlah letak banyak)
1 inci kunyit hidup - dikisar
2 ulas bawang merah -dikisar
sedikit ikan bilis
santan
garam

1. Pucuk paku dibersihkan dipotong.
2. Masukkan santan dalam periuk, campurkan bahan-bahan kisar dan ikan bilis.
3. Masak sehingga santan mengelegak, baru dimasukkan pucuk paku dan garam.
4. Biarkan betul-betul masak baru ditutup apinya.




Ikan siakap sweet sour

Seekor ikan siakap - digoreng dahulu
2 ulas bawang besar -dikisar
1 ulas bawang putih - dikisar
1 biji tomato - belah 4
sos tomato
sos cili
garam
gula


1. Panaskan minyak. Tumis bahan2 yang dikisar.
2. Masukkan sos tomato, sos cili, garam dan sedikit gula.
3. Masukkan ikan siakap yang telah digoreng tadi. Gaul rata dan angkat.


Siakap sweer sour. Ini pula favourite Haziq and Danial.


Petang tu saya buat cucur udang yang memang saya dah plan dua hari lepas. Sedap.....

Cucur Udang

2 cawan  tepung
2 sudu besar soda bikarbonat
1 sudu kecil baking powder
air secukupnya
daun kucai -dihiris
Udang secukupnya

1. Gaulkan tepung, soda bikarbonat, baking powder, garam dan daun kucai dengan air sehingga rata. Saya 
     lebihkan airnya sedikit. Jangan terlalu pekat nanti cucur udang tu keras.
2. Panaskan minyak, celupkan senduk dalam minyak yang betul2 panas.
3. Ambil sedikit adunan tadi, tuangkan dalam senduk panas tadi dan letakkan udang.
4. Kemudian celupkan semula senduk yang telah diisi dengan adunan tadi ke dalam minyak panas.
5. Angkat dan biarkan sejuk sebelum dihidangkan.

Kuahnya.

5 tangkai cili merah
3 ulas bawang putih
sedikit sos cili

Blender semuanya. Masak semuanya atas api yang kecil sehingga pekat.

Isnin, 17 September 2012

Cuti Hari Malaysia


Cuti umum Hari Malaysia pada 17 Sept 2012 digunakan untuk bersama anak-anak di rumah. Hanya hubby yang menjenguk pembinaan rumah di Seremban seorang diri. Lagi pun hanya proses pemasangan tiles di porch yang dijalankan. So, saya di rumah saja melayan kerenah anak-anak. Bila ditanya nak makan apa untuk hari ini Haziq mencadangkan saya untuk memasak Siakap Sweet Sour and sayur campur. 



Siakap Sweet Sour




Sayur  campur goreng yang ringkas.



Petangnya saya menyediakan donut gebu (thanks to Azie Kitchen for the recipe) untuk minum petang. Ini adunan sebelum direhatkan selama 1/2 jam.



Ini rupa doh yang dah mengemang selepas direhatkan 1/2 jam.



ha...ni adunan yang telah dibentukkan guna acuan donut



Proses mengoreng



Ini dia rupanya donut gebu saya yang telah dihiaskan oleh anak-anak. As usual macam-macam rupa. Kami gunakan bahan yang ada di rumah sahaja untuk menghias donut ni ikut kreativiti anak-anak.