AKU BUKANLAH ORANG YANG HEBAT, TAPI AKU MAHU BELAJAR DARI ORANG YANG HEBAT.

AKU ADALAH ORANG BIASA, TAPI AKU INGIN MENJADI ORANG YANG LUAR BIASA.

DAN AKU BUKANLAH ORANG YANG ISTIMEWA, TAPI AKU INGIN MEMBUAT SESUATU YANG ISTIMEWA.

Memaparkan catatan dengan label KUIH MUIH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KUIH MUIH. Papar semua catatan

Khamis, 30 Oktober 2014

APAM BERAS






Assalamualaikum,

Sejak saya mula belajar ni memang saya jarang dapat update blog. Jika dapat update pun cuma ringkas sahaja.

Sebenarnya saya dah banyak kali masak apam beras ni. Resepinya masih lagi saya rujuk dari blog yatiememories. Memang mudah dan sedap. Anak-anak pun suka. Jom....layan resepi


APAM BERAS

Bahan-bahan:-

2 cwn nasi
2 cwn tepung gandum
2 cwn tepung beras
1 1/2cwn gula pasir
2 1/2 cwn air
2 sudu kecil mauripan
kelapa parut + sedikit garam

Cara-cara:-

  1. Blend nasi dan air sehingga hancur 
  2. Setelah hancur, campurkan gula dan blend  sebati.
  3. Dlm bekas lain,satukan tepung gandum,tepung beras dan yis.
  4. Selepas itu,masukkan bahan yang diblender tadi ke dlm bekas tepung. Kacau sehingga sebati.
  5. Perap selama 3 jam.
  6. Panaskan pengukus dan balut penutupnya dengan kain.
  7. Sapukan sedikit minyak pada acuan kecil.
  8. Masukkan dlm acuan kecil dan kukus selama 15 minit..
  9. Hidang bersama kelapa yg telah di gaul dengan sedikit garam..atau enak dimakan begitu saja.





Selasa, 28 Oktober 2014

BADAK BERENDAM


Assalamualaikum,

Hari ni memang hari yang memenatkan bagi saya. Pagi saya ke library di UM dan petang baru balik. So untuk release stress apa lagi....masaklah.
Saya nak berkongsi tentang keenakan kuih badak berendam yang maid saya masak untuk hidangan petang kami sekeluarga. Saya memang  dikira bernasib baik kerana semua bibik saya baik-baik dan rajin. Semuanya cekap memasak dan saya hanya perlu menunjuk ajar sekali dua sahaja dan mereka dah boleh masak dan sedap juga.
Petang tu balik je, maid saya dah beritahu yang dia berjaya memasak kuih badam berendam ni. Memang sedap dan santannya juga cukup rasanya.

KUIH bADAK BERENDAM

Inti kepala
Tepung pulut
sedikit garam
air.
- campurkan bahan-bahan ini dan bentukkan bulat atau bujur
- isikan inti kelapad ditengahnya dan tutup semula
- bentukkan bulat
- didihkan air dalam periuk
- masukkan kuih tadi ke dalam air yang mendidih, apabila ia timbul angkat dan toskan.

1 cawan santan + secubit garam
- boleh dimasak dengan api kecil sehinnga agak mendidih tapi tak perlu lama sangat
- masukkan kuih tadi ke dalam santan dan bolehlah dihidangkan.

Sabtu, 5 Julai 2014

SARDIN ROLL




SARDIN ROLL

Bahan-bahan:
5-6 keping roti putih
serbuk roti
2 biji telur - dipukul sedekit

Bahan Inti:
1 tin sardin - diambil ikannya dan sedikit sahaja sosnya
1 buku bawang besar - dihiris
2 sudu besar cili kering kisar
garam secukupnya
1 asam keping

- untuk intinya sama seperti kita masak sambal sardin cuma kuahnya sedikit sahaja.

1. Roti putih tadi digelek sedikit. Buang tepinya.
2.  Letakkan inti sardin di tengah roti.
3. Celupkan roti ke dalam telur.
4. Selepas itu golek-golekkan roti di atas serbuk roti.
5. Panaskan minyak dan bolehlah digoreng sardin roll tadi.


Jumaat, 4 Julai 2014

CUCUR UDANG




CUCUR UDANG

Bahan-bahan:

2 cawan  tepung
2 sudu besar soda bikarbonat
1 sudu kecil baking powder
air secukupnya
daun kucai -dihiris
Udang secukupnya

Cara-cara:
1. Gaulkan tepung, soda bikarbonat, baking powder, garam dan daun kucai dengan air sehingga rata. 
     Saya  lebihkan airnya sedikit. Jangan terlalu pekat nanti cucur udang tu keras. Saya biarkan sekejap 
     aduanan itu dalam 20 minit.
2. Panaskan minyak, celupkan senduk dalam minyak yang betul2 panas.
3. Ambil sedikit adunan tadi, tuangkan dalam senduk panas tadi dan letakkan udang.
4. Kemudian celupkan semula senduk yang telah diisi dengan adunan tadi ke dalam minyak panas.
5. Angkat dan biarkan sejuk sebelum dihidangkan.

Kuahnya.

5 tangkai cili merah
3 ulas bawang putih
sedikit sos cili

Blender semuanya. Masak semuanya atas api yang kecil sehingga pekat.

Rabu, 4 Jun 2014

PUFF KENTANG BERDAGING


Assalamualaikum,

Hari ni nak kongsi berkenaan Puff Kentang Berdaging yang saya buat untuk sarapan pagi minggu lepas. Baru hari ni dapat masukkan dan share dalam entri. Caranya sama sahaja dengan Puff yang saya buat sebelumnya.

PUFF KENTANG BERDAGING

Bahan-bahan:
1 bungkus Pastry Puff jenama Kawanku (ada 10 keping)
1 biji telur - untuk sapuan

Inti Kentang Berdaging
Daging kisar secukupnya - saya gunakan jenama RAMLY
5-6 biji kentang - dipotong dadu seperti nak buat inti karipap tu
1 biji bawang besar - didadu
1 ulas bawang putih - didadu
1 tangkai daun kari - dicuci
2 sudu besar rempah kari
1/2 sudu besar cili kering kisar - jika nak pedas bolehlah ditambah kuantitinya
garam secukupnya

Cara-cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan bawang putih sehingga wangi.
2. Masukkan campuran rempah kari dan cili kisar dan goreng sehingga betul-betul masak.
3. Masukkan daging kisar, daun kari dan garam. Biarkan seketika
4. Masukkan kentang dan biarkan sehingga kentang lembut.
5. Tutup api dan sejukkan dahulu

Cara membuat Puff
1. Letakkan pastry puff di atas dulang.
2. Isikan inti kentang berdaging tadi.
3. Tutup dan buatlah apa-apa bentuk yang disukai.
4. Matikan tepi puff dengan menggunakan garfu.
5. Sapukan atasnya dengan telur.
6. Bakar dalam oven selama 10 - 15 minit atau mengikut jenis oven yang digunakan.


Ini rupanya setelah diletakkan inti dan sebelum dibakar

Isnin, 2 Jun 2014

POPIA SAYUR


Assalamualaikum,

Alhamdulillah cuti sekolah dah hampir 5 hari bermula. Seronok saya anak-anak berada disamping keluarga. Cuma anak yang sulung pula mula memasuki alam universiti. So, masih tidak lengkaplah bilangan ahli rumah saya ni. Biasalah apabila anak-anak telah membesar masing-masing mempunyai peluang dan ruang yang tersendiri. Inilah kehidupan. Apa-apa pun kita sebagai ibu bapa mendoakan agar mereka berjaya di dunia dan akhirat.

Biasalah bila petang-petang ni terfikir apa yang nak dimasak sebagai hidangan petang. Buka peti sejuk dan ambillah apa yang ada dan saya buatlah popia sayur yang mudah dan tidak memerlukan masa yang lama untuk dimasak. Bahan-bahannya pun memang dah ada dalam peti sejuk...jom

POPIA SAYUR

Bahan-bahan:
Kulit popia secukupnya (saya beli yang dijual di GIANT tu)
2 keping tauhu - dipotong dadu
segenggam taugeh
1/2 batang carrot - dihiris halus
1/4 biji sengkuang - dihiris halus
sedikit garam
6 - 7 tangkai cili merah*
3 ulas bawang putih*
2 sudu besar cili sos*
1 sudu besar gula pasir*

1. Bahan-bahan bertanda * dikisar dan dimasak atas api sederhana sehingga pekat. Ini adalah kuahnya.
2. Kulit popia tu diletakkan di atas dulang
3. Kemudian diisikan dengan sayur-sayuran tadi.
4. Digulung  kemas.
5. Bolehlah digoreng sehingga keperangan.


Khamis, 29 Mei 2014

DONUT MINI


Assalamualaikum,

Ini merupakan entri tertunggak yang agak lambat saya kongsi. Donut mini ini saya masak untuk dibawa melawat Nabila di SESERI. Memaang hampir setiap minggu kami akan melawat Nabila kecualilah jika dia mempunyai aktiviti yang padat. Selalunya saya buat donut mengikut saiz yang biasa tu tapi kali ni nak buat yang comel-comel jer so senang nak digigit dan masuk mulut.
Untuk resepinya, bolehlah dirujuk pada entri yang lalu ye. Cuma kali ni saya menggunakan topping yang pelbagai mengikut citarasa anak-anak. Tengoklah tu...macam-macam topping yang ada.

DONUT MINI

Bahan-bahan:
2 sudu besar mentega
1 biji telur
1 cawan air suam
3 sudu besar gula pasir
2 sudu besar susu pekat manis
1 paket yis (11g)
3 cawan tepung gandum

Cara-caranya:

1. Cairkan mentega dan ketepikan.
2. Dalam mangkuk kecil campurkan gula dan air suam. Biarkan gula larut.
3. Campurkan susu pekat dan kacau rata.
4. Masukkan yis dan  biarkan rehat selama 10 minit 
5. Pukul telur bersama mentega cair tadi. 
6. Campurkan telur ke dalam bancuhan yis tadi. 
7. Tuangkan semua campuran ke dalam tepung.
8. Gaul rata dan biarkan kembang sekali ganda selama 1 jam. 
9. Setelah itu, tumbukkan doh tadi dan uli sekejap.
10.Bentukkan doh mengikut bentuk donut dan rehatkan sekejap selama 30 minit.
11. Goreng donut mini sehingga sedikit keperangan.
12. Bolehlah dihiaskan mengikut citarasa masing-masing. ( Saya gunakan coklat masakan (Coklat dan putih) yang dicairkan dan dihias dengan manik berwarna atau chocolate rice dan sebagainya.





Rabu, 21 Mei 2014

KARIPAP GARING DAN RANGUP

Assalamualaikum,

Lama juga rasanya tak buat kuih karipap ni. So, pagi-pagi lagi dah buat intinya. Jika nak tengok boleh lihat di entri saya yang sebelumnya. Saya google untuk melihat mana-mana resepi pastri atau doh karipap yang boleh saya jadikan panduan. Seperti biasa  antara blog yang menjadi pilihan saya ialah blog Yatie Memories. Terima kasih Kak Yatie atas resepi yang mudah dan yang pentingnya memang rangup dan sedap.

RESEPI KARIPAP RANGKUP
Sumber : Kak Yatie (Blog Yatie Memories)

Bahan-bahan;

500gm Tepung gandum
50gm Tepung Beras
50gm Tepung Ubi
1 sudu besar Gula
1 sudu kecil Garam
3 sudu besar Majerin*
1/4 cwn Minyak masak* (* panaskan)
1 cawan air-tuang sikit demi sedikit

Cara-cara:
  1. Campurkan kesemua bahan-bahan kering.
  2. Tuangkan minyak panas dan gaul rata.
  3. Tuangkan air sedikit demi sedikit sehingga membentuk doh lembut.
  4. Bahagikan doh kepada bebola kecil.
  5. Leperkan dan isi dengan inti kegemaran, tutup dan klim kemas.
  6. Buat sehingga habis. Goreng dgn minyak yang banyak sehingga garing.
    Angkat dan toskan. 

Rabu, 14 Mei 2014

TALAM PERMATA DELIMA


Assalamualaikum, Hujan lebat petang semalam dan saya terasa seperti perut dah mula lapar ni.... Apa lagi terus google dan tercari-cari resepi apa nak buat. Bila buka blog Kak Yatie memories terus ternampak Talam Permata Zamrud yang sangat cantik hasilnya. Tapi saya tak ada sagu berwarna hijau....yang ada sagu merah. So, dengan izin ye Kak Yatie saya menukar nama talam ni kepada Talam Permata Delima kerana warnanya yang merah. Terima kasih Kak Yatie kerana resepi yang sedap dan senang dibuat ni.

Hubby dan anak-anak memuji kesedapan talam ni. Berselera mereka nampaknya. Alhamdulillah. 


Tengoklah tu, saya menggunakan loyang berbentuk jantung (LOVE). 


Bahan-bahannya pun mudah aje, tu yang saya suka coz tak perlu mencari bahan yang pelik-pelik.

Talam Permata Delima

Bahan-bahan:

250 gm sagu besar (cuci dan toskan)

Bahan A
  • 2 1/2 cawan tepung beras
  • 1 1/2 cawan tepung ubi 
  • 1 cawan santan pekat MS
  • 3 cawan air
  • 1/2 sudu kecil garam
Bahan B
  • 1 1/2 cawan gula
  • 1 1/2 cawan air
  • 3 helai daun pandan- simpulkan
Bahan C
  • Pewarna merah

Cara-cara 
  1. Masak bahan B hingga gula larut. Keluarkan daun pandan dan ketepikan dulu.
  2. Satukan semua bahan A, masukkan bahan B, gaul rata dan tapiskan
  3. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian sama banyak. Satu bahagian letak pewarna merah. Bahagikan pada 2 bahagian lagi. Ketepikan dulu.
  4. Satu bahagian lagi biarkan warna asal dan bahagikan pada 2 bahagian lagi. Ketepikan dulu.
  5. Panaskan kukusan, sapu loyang dengan sedikit minyak dan sapu minyak lagi.
  6. Tuang 1 bahagian dari adunan merah, kukus selama 10 minit. Setelah siap, cakarkan sikit permukaannya dan tuangkan 1 bahagian adunan asal/putih dan taburkan separuh sagu.
  7. Kukus lagi selama 10 minit. Sebelum tuang adunan, pastikan tiada air di permukaannya. 
  8. Tuangkan satu lagi adunan merah dan kukus selama 10 minit.
  9. Setelah siap, tuangkan lagi satu bahagian adunan asal/putih dan taburkan rata sagu.
  10. Kukus selama 25 minit. Setelah siap angkat kuih dan sejukkan. Biarkan kuih betul2 sejuk, barulah dipotong guna pisau plastik.



Khamis, 8 Mei 2014

PENGAT PISANG


Assalamualaikum,

Agak lama juga saya tak update kat blog ni. Lately agak busy dengan proposal saya. Bila ada kelapangan sikit ni cepat-cepat update. Saya cuma nak share resepi pengat pisang yang sama masak dah beberapa minggu lepas. Banyak juga foto-foto hasil masakan saya ni yang belum sempat di update. Nanti bila ada masa senggang saya share ye.

Oklah, resepi ni mudah aje dan selalu saya masak apabila bulan Ramadhan. Memang sedap dan menyegarkan cuma saya ni akan kurangkan manis apabila masak bubur atau pengat. Jom layan resepinya...

Pengat Pisang

Bahan-bahan:
4 biji pisang nangka (atau pisang apa pun boleh)

1 kotak santan segera
1/3 cawan gula pasir (ikut kemanisan yang dikehendaki)
2 sudu gula merah
3 sudu sagu mata ikan (dicuci dan toskan)
secubit garam
1 helai daun pandan

Cara-cara:
1. Masukkan santan bersama gula pasir dan gula merah serta garam 
    ke dalam periuk. 
2. Masak sehingga mengelegak.
3. Masukkan pisang yang telah dihiris.
4. Masukkan sagu mata ikan.
5. Biarkan seketika dan bolehlah ditutupkan apinya.
Siap untuk dihidangkan.



Ahad, 20 April 2014

CHOCOLATE RICE PANCAKE


Pancake pun antara menu sarapan kegemaran anak-anak saya. So kali ni buat kelainan sikit dalam pancake ni. Saya campurkan chocolate rice dan walnut.  Simple kan..

CHOCOLATE RICE PANCAKE

Bahan-bahan:

4 sudu tepung gandum
1 sudu besar susu pekat
secubit baking powder
1 sudu kecil esen vanilla
1 biji telur
2 sudu chocolate rice
walnut (agak-agak aje untuk ditabur)

Cara-cara:
1. Dalam mangkuk, campurkan semua bahan kecuali walnut.
2. Bancuh dengan air sehingga dapat batter yang diingini.
3. Panaskan non-stick pan. Letakkan sedikit mentega.
4. Tuangkan satu senduk kecil batter dan bolehlah ditaburkan
     walnut.
5. Bila dah agak-agak masak kedua-dua belah pancake tu angkat
    dan hidangkan.


Khamis, 17 April 2014

LEPAT LABU KUNING



    Mulanya tak terfikir pun nak buat lepat ni, selalunya kat rumah ni kalau labu mesti dimasak lemak jer. So, kali ni nak mencuba sesuatu yang baru. Saya nak cuba buat lepat labu pulak dengan cik labu yang ada separuh lagi kat dalam fridge tu. Nanti jika tak dimasak alamatnya masuk cik tong sampah pula.
     Bila di cari resepinya kat pak cik google ni, senanglah pulak bahan-bahannya. Saya ni selalunya akan mengikut resepi dan cara yang senang untuk dibuat dan tidak memerlukan bahan-bahan yang sukar dicari. So apa lagi...jomlah kita lihat resepinya. Kat sini pun saya masukkan juga step by step (beserta fotonya sekali) cara untuk membuatnya.

LEPAT LABU KUNING

Bahan-bahan:

1/2 biji labu kuning - potong dadu, direbus dan dilenyek
2 cawan tepung gancum
1/4 cawan gula (if nak manis lagi boleh jer ditambah)
1 sudu kecil garam
1/2 biji kelapa parut putih
Daun pisang - dilayur



Tu dia bahan-bahannya. Mudah jer. 
Cara-cara:
1. Panaskan kukusan untuk mengukus lepat ni.
2. Labu tadi dilenyek halus.


3. Labu yang dilenyek tadi digaulkan bersama bahan-bahan yang
    lain.

Labu lenyek tadi digaul bersama bahan-bahan yang lain sehingga rata.

Inilah rupanya adunan yang telah siap digaul

4. Gaulkan sehingga rata. Tak perlu ditambah air lagi.
5. Ambil sesudu adunan tadi dan letakkan atas daun pisang.


Adunan yang diletakkan atas daun pisang


Lipat daun pisang tu dan boleh dikukus

6. Susun dalam dulang untuk mengukus.
7. Kukus selama lebih kurang 10 minit.
8. Siap untuk dinikmati..



Jomlah and jemput makan....

Jumaat, 11 April 2014

APAM PUTERI AYU


Assalamualaikum,

Lama betul rasanya tak update blog ni. Sibuk memanjang jer...So kali ni nak share apam puteri ayu yang baru first time saya buat. Teringin nak buat tu dah lama tapi tak juga dibuat-buat. So, petang ni terlebih rajin saya pun buatlah dan Alhamdulillah menjadi pulak tu. Sedap...Tak lupa diucapkan terima kasih pada tuanpunya blog Citarasa Mamaana yang sudi berkongsi resepi yang mudah dan yang pentingnya menjadi. Thank you kak Ana.


APAM PUTERI AYU

Sumber Asal: Blog Citarasa Mamaana

Bahan-bahan:
A - Untuk Batter
2 biji telur
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula pasir
1/2 sudu teh ovalette
1 cawan santan
pewarna yang disukai

B - Untuk lapis kelapa
kelapa parut putih
1 sudu makan tepung jagung
secubit garam

Cara-cara:
1. Panaskan kukusan. Jangan lupa balut penutup kukusan dengan 
     kain supaya nanti airnya tidak meleleh dan jatuh pada kuih apam
     tu.
2. Pukul gula, telur dan ovalette sehingga kembang. 
3. Masukkan santan dan tepung gandum. 
4. Kacau rata.
5. Bolehlah letakkan pewarna yang disukai. 
6. Acuan perlulah disapu dengan sedikit minyak supaya ia tak 
    melekat.
7. Letakkan lapis kelapa didasar acuan dan padatkan.
8. Kemudian tuang pula adunan apam kita tadi.
9. Kukus selama 10 minit. 


Tengoklah tu...ada warna warnilah pulak. Ikut suka hatilah ye nak diletakkan warna apa

Isnin, 7 April 2014

DONUT KELEDEK OREN


Assalamualaikum,

Petang ni hujan lebat di Seremban, kilat dan petir sabung menyabung. Bila hujan-hujan ni perutpun apa lagi rasa lapar jer kan... Saya teringat pulak kat keledek yang ada kat dapur. Haziq yang minta saya belikan keledek tu dan fikir punya fikir saya pun buka lah pak Google dan dapat lah resepi Donut Keledek dari blog Sinar kehidupanku(Yatiememories). Caranya pun mudah jer so saya pun buatlah.

Alhamdulillah, memang menjadi dan lembut sekali donut ni. Saya banyak juga merujuk kepada blog Kak Yatie ni kerana selain masakannya sedap caranya juga mudah dan tidak memerlukan masa yang panjang untuk menyediakannya. Terima kasih kerana sudi berkongsi.


Ini setelah diterap dengan acuan donut dan direhatkan 1/2 jam sebelum digoreng.


DONUT KELEDEK OREN
(Sumber Asal: Yatiememories dan K.Nor@Secubit Garam)

Bahan-Bahan:-

500 gram tepung gandum
200 gram keledek yang telah direbus dan dilenyek
4 sudu besar susu tepung
1 biji telur 
200 ml air suam (saya tak gunakan semua air ni pun)
3 sudu besar butter
3 sudu besar gula halus
3 sudu kecil yis 

Caranya:-
  1. Masukkan semua bahan dalam bekas adunan dan uli hingga tidak melekat pada tangan. Pastikan Doh betul-betul lembut, Uli selama 8 hingga 10 minit. 
  2. Kemudian perap doh dan tutup bekas adunan dengan plastic wrap(saya tutup dengan tuala lembap jer) dan biar doh naik dua kali ganda. Masa perapan lebih kurang 40 minit atau 1jam.
  3. Selepas itu tumbuk-tumbukkan doh bagi mengeluarkan angin. Bahagi doh pada beberapa bahagian kecil dah lubangkan di tengah-tengahnye, seperti bentuk donut (Saya gunakan acuan donut...). Susun donut di atas dulang dan biarkan sehingga donut naik dua kali ganda.
  4. Goreng di dalam minyak panas sehingga perang, dan salut donut kentang bersama serbuk gula.

Sabtu, 4 Januari 2014

TALAM UBI KAYU



Assalamualaikum,


      Talam ubi kayu ni adalah antara kuih kegemaran saya. Jika ke pasar malam atau mencari sarapan inilah antara kuih yang akan saya beli dahulu. Cuma baru kali ini saya berpeluang membuatnya sendiri. Maklumlah, masih lagi belajar dan mencuba resepi-resepi yang pelbagai. Nak buat pun senang dan yang penting ialah keluarga saya mengemarinya.
      Saya nak ucap terima kasih pada Kak Yatie dari blog Yatimemories kerana resepinya yang saya ikut ni memang senang dan sedap hasilnya.

Talam Ubi Kayu.

Bahan-bahan:

Lapisan Bawah
600 gram parutan ubi kayu
160 ml santan cair
200 gram gula pasir
 50 gram gula melaka(saya guna gula merah jer)
 1 helai daun pandan

Cara-cara:
1. Satukan santan, gula merah dan gula pasir dan daun pandan.
2. Masak dengan api perlahan hingga larut. Tapis dan sejukkan.
3. Lapik loyang dengan plastik dan sapu sedikit minyak.
4. Panaskan kukusan.
5. Satukan air gula tadi bersama ubi parut. Kacau rata.
6. Tuang dalam loyang.
7. Kukus selama 20 minit.

Lapisan Atas
600 ml santan
40 gram tepung gandum
70 gram tepung beras
sedikit garam

Cara-cara:
1. Bancuh semua bahan kecuali garam.
2. Kacau dan campurkan garam.
3. Tapis adunan tadi.
4. Tuangkan perlahan-lahan atas lapisan bawah tadi.
5. Kukus semula selama 25 minit.
6. Sejukkan dahulu sebelum memotongnya.



Ahad, 1 Disember 2013


Dah lama teringin nak buat kuih kaswi ni, baru sekarang dapat memenuhi hasrat sendiri. Saya google dan saya telah menggunakan resepi dari yatiememories. Memang sedap kuih ni, tak manis sangat dan lembut. Yang paling seronok bila tengok Hazim makan.

KUIH KASWI

Bahan-bahan:

5cawan air *
1 cawan gula merah *
1 cawan gula pasir *
sehelai daun pandan *

* Semua bahan di atas dimasak sehingga larut. Tapiskan ke dalam mangkuk dan sejukkan.

2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung/ubi
1 sudu kecil kapur kuih

kelapa parut + sedikit garam - untuk digaulkan

Cara-cara:
1. Panaskan kukusan.
2. Ratakan sedikit minyak dalam loyang atau boleh lapikkan plastik.
3. Bancuh semua bahan-bahan.
4. Tapis dan tuang ke dalam loyang.
5. Kukus selama 25 - 30 minit.
6. Tunggu sehingga sejuk, baru dipotong.
7. Gaul dengan kelapa putih.



Ahad, 24 November 2013

BURGER MALAYSIA




Resepi asal burger malaysia ini saya ambil dari blog yatimemories. Memang sedap dan mendapat sambutan hangat dan laris oleh anak-anak dan hubby. Gebu sungguh burger ni... Sambal bilis tu saya gunakan resepi saya sendiri. If nak diisikan inti yang lain pun boleh juga. Ikutlah cita rasa sendiri..


BURGER MALAYSIA

Sumber Resepi : yatiememories


BAHAN-BAHANNYA :-)
  • 3 cawan tepung gandum
  • 3 camca besar gula halus
  • 4 camca besar susu tepung
  • 3 camca besar lemak sayur (shortening)
  • 1/2 camca teh garam halus
  • 2 1/2 camca teh instant yeast (mauripan)
  • 250 ml air suam
BAHAN INTI :-)
  • Sambal tumis secukupnya
  • Hirisan timun secukupnya 
CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bancuh instat yeast bersama 50 ml air suam dan 1 camca teh gula halus (dari resipi yang sama). Kacau rata dan ketepikan sekejap hingga bancuhan berbuih2. Sementara itu masukkan tepung, baki gula, susu tepung, lemak sayur dan garam ke dalam mangkuk adunan. Kacau rata.
  2. Tuang bancuhan yeast dan gaul hingga sebati. Tuang baki air sedikit demi sedikit sambil terus menguli hingga menjadi doh yang tidak melekat dimangkuk adunan, tak perlukan habiskan air jika doh telah ok.
  3. Kemudian bahagi kepada bebola sama besar, bulat2kan dan susun dalam loyang yang telah ditabur sedikit tepung, tekan biar leper sedikit. Perap 35 - 45 minit atau hingga kembang.
  4. Goreng dalam minyak sederhana panas hingga kuning keemasan pada seluruh bahagian pau, angkat dan toskan. Biar sejuk, belah 2 dan sapu dengan sedikit sambal tumis, letak sekeping hirisan timun. Hidangkan untuk sarapan atau minum petang....





Isnin, 1 Julai 2013

VADEI RANGUP


Saya memang dah lama teringin nak buat kuih vadei ni. Setiap kali balik kampung dan apabila kami ke Pasar Malam di Tampin saya pasti membeli kuih vadei ni yang memang sedap dan rangup. Cari punya cari resepi dari dapur Madiha ni yang saya jumpa dan memang kuih vadei ni sedap dan rangup. Tq Madiha for sharing the recipe. Bila dah masak, letak aje atas meja.....sekejap je selamat.....

KUIH VADEI

Bahan-bahan:
300 gram kacang dhal
1 biji bawang besar - didadu
1 tangkai cili hijau - dihiris
1/2 sudu kecil jintan manis
1 tangkai daun kari
sedikit garam

Cara:
1. Kacang dhal direndam selama lebih kurang 4 jam.
2. Tapis dan kisar 3/4 dari kacang dhal tadi dalam blender kering.
3. Campurkan semua bahan-bahan lain.
4. Basahkan tapak tangan dan letakkan 1 sudu besar adunan dan leper-leperkan.
5. Panaskan minyak dan goreng sehingga masak.


Rabu, 12 Jun 2013

ROTI JALA

Assalamualaikum,

Dalam saya melihat kembali koleksi foto-foto dalam lap top ni terjumpa banyak foto masakan saya yang masih belum dimasukkan ke dalam entri. Biasalah, nak mencuri masa untuk update blog ni pun susah, Apabila ada peluang, saya pun updatelah blog ni.

Minggu ini saya berada di Kuala Terengganu untuk menyampaikan kuliah  Blue Ocean Strategy kepada Guru Besar Sekolah Kluster Kecemerlangan dari seluruh negara. Saya seronok ke Terengganu kerana makanannya yang sedap-sedap especially Keropok Lekor dan Nasi Dagang. Hotel Grand Continental ni pun menghidangkan Nasi Dagang dan Keropok Lekor sebagai juadah breakfast. Sedap...cuma risaukan berat badan jer....

oklah jom kita layan dulu resepi roti jala saya yang mudah ni....


ROTI JALA

2 cawan tepung gandum
secubit garam
1 biji telur
secubit baking powder
Pewarna - saya gunakan pewarna hijau dan kuning
air secukupnya

Cara-cara:
1. Campurkan semua bahan ke dalam blender.
2. Kisar sehingga mendapat kepekatan batter yang diinginkan.
3. Panaskan non-stick pan.
4. Tuangkan  1 senduk batter  dan biarkan sehingga masak seketika. Tidak perlu dibalikkan.
5. Ketika masih panas, gulungkan roti jala tadi.
6. Hidangkan dengan kuah kari.




Selasa, 11 Jun 2013

ONDE-ONDE BUAH MELAKA


ONDE-ONDE BUAH MELAKA

Bahan-bahan:
Tepung Pulut - saya agak-agak je dan gunakan 1/2 paket
secubit garam
air secukupnya
Gula melaka - dipotong kiub
kelapa putih parut untuk digolekkan.

Cara-cara:
1. Panaskan air sehingga mengelegak.
2. Masukkan tepung pulut ke dalam mangkuk.
3. Campurkan garam dan tuangkan air sehingga menjadi doh yang lembut.
4. Masukkan gula melaka tadi di tengah-tengah doh dan tutup semula.
5. Masukkan ke dalam air yang mengelegak tadi dan tunggu sehingga ia timbul.
6. Angkat dan golekkan dengan kelapa parut.
7. Sedia untuk dihidang.