AKU BUKANLAH ORANG YANG HEBAT, TAPI AKU MAHU BELAJAR DARI ORANG YANG HEBAT.

AKU ADALAH ORANG BIASA, TAPI AKU INGIN MENJADI ORANG YANG LUAR BIASA.

DAN AKU BUKANLAH ORANG YANG ISTIMEWA, TAPI AKU INGIN MEMBUAT SESUATU YANG ISTIMEWA.

Khamis, 2 Januari 2014

MEDAN DAY 2

Sambung perkongsian cuti-cuti kami di Medan bagi hari ke 2. Malam di Parapat memang sejuk dan dek kerana keletihan kami tidur dengan lenanya. Kami diberikan dua bilik yang selesa cuma lupa pulak nak amik gambar bilik kami, saya cuma amik gambar kunci bilik aje. Tulah...sekejap amik gambar guna kamera Nabila dan sekejap guna kamera saya so tak perasan pulak ada yang tak diambil.

Suasana pagi di Parapat. Nyaman dan segar udaranya...


Di Cafe hotel sambil menunggu sarapan. Jika di Malaysia hotel akan menyediakan sarapan secara buffet tetapi di sini kena order, so kenalah tunggu...


Nasi goreng. Sedap dan kopinya pun segar dan wangi


Mee Hoon goreng. Juga sedap dan menyelerakan.



Mee Goreng ni Danial punyer...



Bergambar sebelum menuju ke jeti untuk menaiki feri ke Pulau Samosir


Inilah ferinya...panas pulak cuaca kan tapi berangin..tetapi masih segar udaranya yang tidak tercemar.


Tengoklah gelagat Hazim tu, tak takut langsung dan setiap aksinya menjadi perhatian mereka yang menaiki feri ini


Ada pulak budak-budak dari kaum Batak ni yang menghiburkan kami dan usai persembahan mereka akan menuju ke setiap pelanggan untuk meminta sumbangan ikhlas.


Bila dah penat, Hazim main game...diamlah sekejap


Hazim..Hazim...sampaikan driver feri ni pun melayan keletah dia yang tak tahu duduk diam tu..risau sebenarnya sebab dia tak takut dengan orang asing langsung.


Kami dibawa melawat rumah kaum Batak SiGale-Gale. Rumahnya memang unik.

Hotel kami di Parapat ialah Hotel Pandu Lakeside


Suasana di Pasar Tomok



Semasa melawat perkuburan kaum Batak. Kena pulak pakai selempang tu ha.,....


Di hadapan Museum Tomok


Kami mencuba pakaian kaum Batak...Danial dan Haziq dah macam pendekar lah pulak...


Anak-anak kaum Batak akan menunjukkan skill berenang mereka dan penumpang feri akan mencampakkan duit ke dalam air sebagai sumbangan


Ada juga antara mereka yang naik ke feri untuk memohon sumbangan


Kemudian kami singgah makan tengahari di Restaurant Istana Minang. Sedap masakannya dan penuh dengan pelancong dari Malaysia

Inilah lauk pauk yang dihidangkan. Yummy...


Singgah sebentar di Simarajunjung yang terkenal dengan pisang goreng dan teh halianya. Frust juga sebab tak sempat nak menjamah kerana orang terlalu ramai. Sempat posing jer...


Kemudian perjalanan diteruskan ke Air Terjun Si Piso-Piso. Ini adalah antara gerai menjual cenderahati di sana

 Inilah dia air terjunnya. Sangat cantik dan menakjubkan. SubhanAllah.


Ini Rumah Makan Famili dimana kami menikmati makan malam di Brastagi. Tempatnya seperti Cameron Highlands sejuk dan nyaman.


Hidangan kali ni agak kurang menyelerakan...


Ini pemandangan Hotel Green Garden di mana kami bermalam di Brastagi, bersih dan selesa

Selesa untuk bermalam

Rabu, 1 Januari 2014

MEDAN - DAY 1


Di LCCT sebelum bertolak

Pada 13 - 17 Disember yang lalu kami sekeluarga telah bercuti di Medan, Indonesia. Percutian ini memang best dan meninggalkan seribu kenangan kepada kami. Medan sememangnya adalah sebuah tempat yang sangat menarik untuk dilawati dengan keindahan alam semulajadinya. 


Hazim yang first time naik flight tak takut lansung cuma mengantuk aje.


Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu. Agak besar, selesa dan baru. Setelah sampai kami disambut oleh Bowo pemandu pelancong kami yang sangat baik hati, merangkap driver, jurukamera dan pelbagai lagi. Bowo memang senang untuk dibawa berunding. Kami memang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan olehnya.



Dalam perjalanan ke Parapat kami terserempak dengan pemandangan ini. Tengok tu...anak-anak saya terkejut melihat pelajar sekolah yang mengadai nyawa untuk duduk di atas bumbung van tu.. Mereka ni sedang dalam perjalanan balik ke rumah dengan menumpang van yang penuh sesak dengan penumpang dalamnya...


Singgah lunch di Rumah Makan Beringin Indah. Memang banyak hidangannya, sedap dan yang paling best ialah puyuh goreng..Mula-mulanya Hazim tak nak tapi bila saya suapkan dia kata sedap pulak..


Di hadapan Rumah Makan Beringin Indah.. Tengoklah Hazim tu..hai..anak omak..


Bowo membawa kami ke Kedai Paten yang menjual pelbagai jenis makanan ringan yang terkenal seperti Ting Ting, Teng Teng, Tung Tung dan sebagainya. Memang sedap dan saya membeli tak delah banyak sangat, cukup untuk sekadar dapat merasa.


Sedang memilih, dan membayar... Hazim biasalah nak mentos pulak dia.



Singgah untuk bergambar sekejap sebaik sampai di Danau Toba. Memang cantik dan menakjubkan.


Anak-anak bergambar di hadapan lobi hotel sementara menunggu Bowo mengambil kunci bilik. Bilik hotel kami betul-betul mengadap Danau Toba yang seluas mata memandang. Memang sejuk, bilik pun tak de kipas atau air-cond. Nak mandi pun airnya sangat sejuk. Buka sahaja pintu bilik terus nampak Danau Toba.


Hazim apa lagi...nampak aje air terus nak swimming. So si hubby yang melayan dia. Airnya memang sejuk dan pihak hotel menyediakan kawasan untuk pengunjung mandi manda...

Inilah pemandangan depan bilik kami...ramai juga pelancong (semua tu Malaysian) sedang berenang. Bot/Feri yang sebelah kanan tu ialah Feri yang membawa pelancong ke Pulau Samosir iaitu perkampungan Batak. Kami akan ke sana esok. Tak sabar nih...


Antara pemandangan dari bilik kami...


Sebelah petangnya Bowo membawa kami melawat sekitar Parapat. Ini di atas bukit bersebelahan rumah rehat bekas Presiden Indonesia. Dari sini juga pemandangannya sangat cantik.


Danial berposing...


Tengoklah tu...macam-macam aksi yang si Bowo tu suruh kami buat...


Ha...inilah dia kegemaran saya. Mangga kat sini memang manis dan saya turut membeli 1 kg jer...


Senja bakal menjelma...sompek anak-anak hamba berposing depan Danau Toba tu sementara menunggu waktu maghrib


Hidangan makan malam kami...sedap bangat dan pelbagai lauk untuk dinikmati.


Sempat posing...Rumah Makan ni memang menjadi tumpuan orang Malaysia...

Selasa, 17 Disember 2013

KEPUTUSAN PMR

Ya Allah, berdebar-debar hati sambil menunggu keputusan PMR 2013 diumumkan. Puteri tunggal saya akan memperoleh keputusannya. So setelah selesai memasak untuk makan tengahari saya dan Nabila bergerak ke SMK KGV. Sampai di sekolah, rakan-rakan Nabila ramai yang telah menunggu. Ada yang gembira dan sedih kerana ada antara mereka yang telah mengetahui keputusan mereka terlebih awal melalui sms dan sebagainya. Nabila tenang sahaja air mukanya, saya, hubby dan Danial yang risau dibuatnya. Setelah cikgu mengarahkan pelajar-pelajar memasuki dewan lagi berdebar-debar.

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana keputusan Nabila cemerlang dengan mendapat 8A. Semua ini adalah hasil usaha dan kerja kerasnya belajar tanpa jemu. Tahniah dari ibu, ayah, abang dan adik-adik. Semoga hari yang mendatang akan memberikan kejayaan dan seterusnya Nabila dapat mencapai cita-cita yang diimpikan.


Berdebar menunggu keputusan dari guru kelas...


Bersama-sama pelajar lain yang memperoleh 8A


Bersama sahabat baiknya, Dania serta ibunya


Tahniah dari ayah dan ibu


Bersama Dania

Ahad, 1 Disember 2013


Dah lama teringin nak buat kuih kaswi ni, baru sekarang dapat memenuhi hasrat sendiri. Saya google dan saya telah menggunakan resepi dari yatiememories. Memang sedap kuih ni, tak manis sangat dan lembut. Yang paling seronok bila tengok Hazim makan.

KUIH KASWI

Bahan-bahan:

5cawan air *
1 cawan gula merah *
1 cawan gula pasir *
sehelai daun pandan *

* Semua bahan di atas dimasak sehingga larut. Tapiskan ke dalam mangkuk dan sejukkan.

2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung/ubi
1 sudu kecil kapur kuih

kelapa parut + sedikit garam - untuk digaulkan

Cara-cara:
1. Panaskan kukusan.
2. Ratakan sedikit minyak dalam loyang atau boleh lapikkan plastik.
3. Bancuh semua bahan-bahan.
4. Tapis dan tuang ke dalam loyang.
5. Kukus selama 25 - 30 minit.
6. Tunggu sehingga sejuk, baru dipotong.
7. Gaul dengan kelapa putih.



Ahad, 24 November 2013

BURGER MALAYSIA




Resepi asal burger malaysia ini saya ambil dari blog yatimemories. Memang sedap dan mendapat sambutan hangat dan laris oleh anak-anak dan hubby. Gebu sungguh burger ni... Sambal bilis tu saya gunakan resepi saya sendiri. If nak diisikan inti yang lain pun boleh juga. Ikutlah cita rasa sendiri..


BURGER MALAYSIA

Sumber Resepi : yatiememories


BAHAN-BAHANNYA :-)
  • 3 cawan tepung gandum
  • 3 camca besar gula halus
  • 4 camca besar susu tepung
  • 3 camca besar lemak sayur (shortening)
  • 1/2 camca teh garam halus
  • 2 1/2 camca teh instant yeast (mauripan)
  • 250 ml air suam
BAHAN INTI :-)
  • Sambal tumis secukupnya
  • Hirisan timun secukupnya 
CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bancuh instat yeast bersama 50 ml air suam dan 1 camca teh gula halus (dari resipi yang sama). Kacau rata dan ketepikan sekejap hingga bancuhan berbuih2. Sementara itu masukkan tepung, baki gula, susu tepung, lemak sayur dan garam ke dalam mangkuk adunan. Kacau rata.
  2. Tuang bancuhan yeast dan gaul hingga sebati. Tuang baki air sedikit demi sedikit sambil terus menguli hingga menjadi doh yang tidak melekat dimangkuk adunan, tak perlukan habiskan air jika doh telah ok.
  3. Kemudian bahagi kepada bebola sama besar, bulat2kan dan susun dalam loyang yang telah ditabur sedikit tepung, tekan biar leper sedikit. Perap 35 - 45 minit atau hingga kembang.
  4. Goreng dalam minyak sederhana panas hingga kuning keemasan pada seluruh bahagian pau, angkat dan toskan. Biar sejuk, belah 2 dan sapu dengan sedikit sambal tumis, letak sekeping hirisan timun. Hidangkan untuk sarapan atau minum petang....